Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, penambahan itu akan menjadikan jumlah keseluruhan tabung berkenaan mencecah RM12 juta untuk pembiayaan pada setiap tahun.

Menurutnya, sejak kebelakangan ini, kerajaan negeri membelanjakan RM800,000 hingga RM1 juta sebulan daripada tabung tersebut dan jumlah itu meningkat berbanding sekitar RM500,000 sebulan sebelum ini.

"Ini bermakna kita perlukan RM12 juta sedangkan penyediaan dari kerajaan negeri adalah sebanyak RM3 juta setahun dan tambahan RM3 juta lagi daripada GLC (syarikat berkaitan kerajaan).

"Sekarang kita perlu dapatkan lagi tambahan tidak kurang daripada RM6 juta dan dana akan sentiasa bertambah dari semasa ke semasa.  Jadi, kerajaan negeri sedangkan fikirkan bagaimana untuk kita pastikan agar tabung kronik ini independent," katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Jom Sihat anjuran Dewan Perniagaan dan Industri Cina Terengganu dengan kerjasama Kelab Lions Kuala Terengganu di Paya Bunga (PB) Square di sini hari ini. Yang turut hadir, isteri beliau, Toh Puan Seri Halina Zakaria.

Ahmad Razif seterusnya menggesa mana-mana GLC serta badan bukan kerajaan (NGO) agar tampil menghulurkan sumbangan kepada tabung berkenaan bagi membantu memenuhi keperluan golongan yang memerlukan.

"Kemungkinan kita akan jadikan tabung ini bersepadu atau kita jalinkannya secara kolaborasi dengan pihak lain termasuk Terengganu Incorporated atau mana-mana GLC yang mampu menjana tabung kronik ini.

" Kita juga minta kerjasama mana-mana syarikat seperti kilang pampers, kilang buat peralatan perubatan agar dapat sama-sama membantu menyediakan sumbangan dalam bentuk barangan," katanya.-UTUSAN ONLINE