Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Ismail Mohamed berkata, bayaran tersebut dibuat selepas mata pencarian mereka terjejas akibat projek pembangunan di kawasan pesisir pantai berkenaan.

“Setiap seorang menerima RM2,000 secara ‘one-off’ yang bertujuan me­ringan beban mereka. Bayaran ini dilakukan secara berperingkat me­ngikut kawasan masing-masing.

“Kerugian dialami nelayan berbeza-beza, namun kerajaan tidak pernah mengabaikan mereka,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Khas Bantuan Kepada Nelayan Johor Selatan di Dataran Mahkota, Kota Iskandar sempena Ekspo Johor Berkemajuan 2017, di sini kelmarin.

Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang berkata, penerima yang layak itu disenaraikan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri selepas menepati kriteria dan syarat-syarat yang ditetapkan.

Menurutnya, bayaran saguhati itu mula diberikan sejak tiga tahun lalu yang bertujuan bukan hanya untuk meringankan beban mereka, malah mengiktiraf peranan komuniti tersebut terhadap penghasilan sumber makanan.

Beliau berkata, jumlah bayaran tersebut mungkin dinaikkan pada tahun depan dan jumlah RM2,000 sudah diberikan sejak tahun lalu manakala sebelum itu hanya RM1,000 setiap seorang.

Katanya, pada majlis itu seba­nyak RM160,000 diperuntukan kepada 120 nelayan dengan bantuan diberikan dalam bentuk peralatan menangkap ikan dan kotak keselamatan bagi membantu golongan berkenaan meningkatkan hasil tangkapan dan tahap kese­lamatan.

Mengenai sambutan Hari Deepavali, beliau memberi jaminan bahawa semua barangan keperluan harian adalah mencukupi.

Katanya, eksport ikan ke Singapura tidak dihentikan sempena perayaan itu kerana bekalan mencukupi dan orang ramai tidak perlu risau mengenainya.