Keistimewaan lokasi tersebut menjadikannya tumpuan dan mercu tanda daerah ini.

Kebanyakan pengguna yang melalui jalan ini biasanya akan menjadikan lokasi replika yang terletak di selekoh itu tempat per­singgahan untuk mereka me­ngambil gambar kenangan.

Namun jalan itu kini semakin sunyi disebabkan pengguna mula beralih menggunakan Jalan Bukit Putus yang baharu sekali gus menyebabkan replika dan kawasan di sekitarnya tidak terurus dan terbiar.

Tinjauan Utusan Malaysia men­dapati, kawasan itu bukan sahaja dipenuhi semak samun tetapi sebahagian seni ukirannya turut dipenuhi lumut.

Seorang pengguna, Mohd. Ismail Azhari, 39, satu ketika dahulu, laluan berkenaan merupakan satu-satunya jalan perhubungan di antara Seremban dan Kuala Pilah.

Ujarnya, setiap kali cuti hujung minggu pasti laluan itu penuh sesak terutama mereka yang memberhentikan kenderaan masing-masing untuk mengabadikan keunikan replika destar tersebut.

“Malangnya, lokasi itu sudah terbiar dan tidak lagi menjadi tumpuan ramai sedangkan ia melambangkan identiti institusi raja Melayu dan kebanggaan rakyat negeri ini.

“Kalau keadaan ini berterusan tanpa penyelenggaraan, saya bimbang replika itu semakin uzur dan terus hilang dimamah usia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, laluan itu semakin sunyi sejak beberapa tahun lalu selepas pengguna beralih menggunakan jalan baharu Bukit Putus yang dibina sepanjang 6.9 kilometer.

Sehubungan itu pihak Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) disaran membangunkan semula kawasan berkenaan sebagai tempat bersejarah di daerah ini.