Sehubungan itu, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mahu peranan pertubuhan serta gerakan kesukarelawanan itu diiktiraf dalam usaha menggalakkan lagi aktiviti tersebut di negeri ini.

“Kita mesti pergi selangkah lebih jauh dan mencari jalan meyakinkan masyarakat bahawa kesukarelawanan dan semangat membara untuk memberi, berbakti dan berbahagi, adalah penyuluh kepada pembangunan masa depan Johor dan Malaysia.

“Melakukan aktiviti atau gerakan seumpama itu merupakan ciri-ciri berkemajuan dan bukannya kekampungan lagi.

“Dan kita nak di Johor ini menerusi gerakan dan aktiviti seumpama itu menjadi sebahagian nilai-nilai yang ada di kalangan masyarakat negeri ini,” katanya berucap pada perasmian program Rapat Sukarelawan (Rasuk) Johor 2017 di sini sebentar tadi.

Lebih 200 pertubuhan dan kumpulan gerakan sukarelawan menyertai konvensyen Rasuk Johor 2017 yang dianjurkan oleh Institut Integriti Kepimpinan dan Latihan Semangat Dato’ Onn (Iklas) buat pertama kali di negeri ini.

Rasuk Johor merupakan satu platform pertukaran dan perkongsian idea bagi wakil kerajaan negeri mengiktiraf peranan sukarelawan dalam pembangunan negeri selain berkongsi agenda pembangunan utama Gagasan Johor Berkemajuan. - UTUSAN ONLINE