RASMAN ITHNAIN menunjukan poster Barisan Nasional (BN) di Kota Tinggi, Johor, semalam.

Beliau yang mudah didekati masyarakat di situ selain seorang yang ramah dan suka bergurau juga mahu memastikan segala pembangunan yang sedang dan dalam perancangan untuk masyarakat Sedili dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Itu janji beliau kepada pengundinya.

Wartawan Utusan Malaysia, Nurul Huda Hassan dan Mohd. Khairul Ali serta jurugambar Ba’azlan Ibrahim sempat menemu bual Rasman tentang perancangan serta aspirasinya sekiranya sekali lagi dipilih sebagai wakil rakyat di kawasan berkenaan.

UTUSAN: Sudah menjadi wakil rakyat selama dua penggal dan kali ini bertanding untuk penggal ketiga, bagaimanakah perbezaan lima tahun dahulu dan sekarang di Sedili?

RASMAN: Semasa mula-mula menjadi wakil rakyat, saya buat kerja secara berfasa, mendekati masyarakat dan mengenal pasti bantuan yang diperlukan terutama di kawasan Felda dan luar bandar dalam usaha mahu mengurangkan ma­salah golongan miskin tegar.

Banyak ban­tuan yang kita dah usahakan sebagai contoh, memastikan mereka yang benar-benar layak menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam Nege­ri Johor (MAINJ), bantuan nelayan dan macam-macam lagi. Saya juga melihat aspek tempat tinggal seperti rumah mampu milik selain cuba memberi penekanan dalam bidang pendidikan.

Dalam fasa seterusnya, kita banyak menyelesaikan isu ber­kaitan prasarana dan infrastruktur, jalan-jalan kampung dan sekarang turut memberi tum­puan bagaimana mahu merancakkan lagi pembangunan di Sedili yang berpotensi terutama dalam industri pelancongan, kita mahu masyarakat setempat menerima pelbagai tempias pembangunan sektor tersebut supaya tidak ada yang tertinggal.

Apakah perancangan masa akan datang di kawasan ini?

Dari segi pembangunan, kita kena ada perancangan ber­sunguh-sungguh dan teliti kerana di kawasan ini banyak perkampungan tradisional dan kita tidak mahu ia musnah dalam arus pembangunan. Sepatutnya pembangunan itu antara lain tujuannya untuk menambah pendapatan, ekonomi lebih baik, kehidupan lebih selesa. Sedili dekat dengan pembangunan seperti di hab minyak dan gas di Pengerang dan Bio Desaru.

Bermula tahun lepas, kita di bawah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pengerang dan secara automatik akan berlaku pembangunan terutamanya tertumpu terhadap sektor pelancongan. Atas sebab itu, kita dah mohon kerajaan negeri supaya jalan dari Mer­sing hingga Sedili dan ke Bandar Penawar, kita mahu besarkan.

Itu semua bagi memudahkan kerancakan pertumbuhan pelancongan di kawasan terlibat dan kerajaan juga telah luluskan hampir RM60 juta bagi pembinaan jalan baharu dari Kampung Belukar Durian ke gugusan Simpang Waha yang kini dalam pembinaan.

Selain itu, kita juga merancang untuk membangunkan Pusat Ta­madun Melayu Antarabangsa di Pekan Sedili, yang pertama seumpamanya di Malaysia. Ki­ta buat pembangunan moden yang menjadi satu platform untuk memperkenalkan Sedili di peringkat antarabangsa menerusi pembangunan seimbang dan pada masa sama kekalkan kampung-kampung tradisi bagi tujuan menjadikannya produk pelancongan.

Mungkin ada program yang ditumpukan khas kepada golo­ngan muda?

Program orang muda, sebe­tulnya saya banyak libatkan diri dengn program golongan ini, contohnya apabila ada pelancong datang ke Sedili dari Jepun, China, Korea dan Indonesia dan kita libatkan belia, ada kumpulan kompang, ada kumpulan silat, untuk perkenalkan makanan, perbuatan, tempat tinggal, percakapan, semuanya untuk tujuan pelancongan.

Dalam masa sama, kita buat juga program pertandingan memikat burung yang melibatkan peserta dari luar negara. Kita juga ada buat program luncur air di Tanjung Buluh dan kita juga merancang untuk bangunkan kawasan pantai itu supaya terus dapat menarik pelancong sedia ada dan baharu.

Bagaimana dengan cabaran pada PRU-14 ini?

Pengundi saya juga ramai dalam kalangan generasi muda dan mereka ini yang saya risaukan terutama yang tidak tinggal di kawasan ini dan hanya balik untuk mengundi.

Kita khuatir mereka tidak tahu gerak kerja yang kita lakukan, bantuan yang dah diberi selain pelbagai program yang dijalankan.

Kita juga khuatir mereka tidak nampak pembangunan yang dibawa, namun saya berharap pengundi yang berada di sini dan dah mengenali saya akan membantu meuar-uarkan kepada mereka tentang sumbangan yang dah saya berikan.

Pesanan kepada pengundi 
di DUN Sedili?

Kebelakangan ini, kita sering dengar tentang ada pihak yang mahu melakukan perubahan. Saya ingin bertanya apa lagi yang kerajaan tidak berikan? Kita tidak mahu sebab nak perubahan yang sekadar angan-angan tapi di sebaliknya boleh memusnahkan negara.

Jadi, berhati-hatilah bila nak mengundi, fikirkan semasak-masaknya kerana ini tentang soal anak cucu-cicit kerana dalam tempoh lima tahun boleh me­ngubah segala-galanya.

Bagi penduduk di DUN Sedili, saya merayu supaya mereka menilai rekod kerja saya yang sentiasa mengamalkan konsep ‘pintu terbuka’ kepada rakyat.

Saya juga setiap hari berada di kawasan, malah setiap Selasa kita adakan Pusat Khidmat Wakil Rakyat di Kampung Singapura yang melibatkan agensi kerajaan. Pengundi saya juga boleh datang ke rumah dan pejabat untuk berjumpa dengan saya.

Jadi, nilailah apa yang saya sudah lakukan selama ini, sekali gus terus memberi sokongan padu kepada saya pada PRU-14 ini.