Muhammad Qayyim yang mengambil lapan subjek berjaya memperoleh keputusan 1A, 1A-, 5B+ dan 1D biarpun dikategori orang kurang upaya penglihatan.

Pelajar berusia 18 tahun yang berasal dari Kota Bharu ini mengucapkan terima kasih kepada semua rakan dan guru yang membantu terutamanya Penolong Kanan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Melor, Mohd Zaidee Che Mat.

“Saya belajar dalam kelas seperti orang lain cuma saya gunakan buku braille dan perakam suara untuk merakam apa yang cikgu ajar.

“Kadang-kadang saya turut bawa perakam suara semasa menghadiri perbincangan kumpulan supaya saya mudah ingat apa yang sahabat sekumpulan terangkan,” katanya ketika ditemui di SMK Melor di sini hari ini.

Anak kepada pensyarah, Sarimi Yusoff, 52 dan guru Rozan Mohamed, 44, ini bakal berentap dengan barisan Qari yang lebih senior di majlis tilawah yang akan berlangsung dari 2 hingga 8 April ini.

Muhammad Qayyim Nizar berkata, dia berhasrat untuk menyambung pengajian dalam bidang tarannum dan qiraat di samping menanam cita-cita menjadi pakar Bahasa Jepun, Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris. - UTUSAN ONLINE