Pemiliknya, Norhana Mohamed Noor berkata, kapasiti pengeluaran bahulu syarikatnya kini mencecah 30,000 biji sehari berbanding lima ribu sebelum ini.

Katanya, jumlah itu bagi menampung permintaan daripada pembekal dan peniaga di kawasan sekitar selain jualan secara terus di kedai mereka di Penanti di sini.

“Setiap hari, kilang saya mula beroperasi seawal pukul 7 pagi dengan kekuatan lapan pekerja tetap dan tiga orang pekerja sambilan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru- baru ini.

Katanya, bagi menghasilkan jumlah bahulu secara besar-besaran, mereka menggunakan 2,000 biji telur ayam, lapan guni tepung dan lima guni gula setip hari.

Bahan- bahan itu katanya, kemudian diadun sebelum dibakar menggunakan enam ketuhar.

“Dua jenis bahulu yang paling mendapat sambutan ialah jenis Ikan Emas dan Cermai selain terdapat juga perasa jagung dan nanas,” katanya.

Ditanya mengenai keistimewa­an bahulu keluarannya, Norhana berkata, syarikat beliau menggunakan resepi warisan keluarga sejak 30 tahun lalu.

“Cuma seiring peredaran masa, kami tidak lagi membakar menggunakan sabut kelapa seperti dahulu, tetapi untuk pastikan rasa tidak hilang, kita menggunakan bahan terbaik selain dibakar sempurna," katanya.

Beliau yang pernah memenangi Anugerah Tekun Cemerlang peringkat negeri berkata, ketika ini jualan bahulu syarikatnya cukup memberangsangkan apabila mampu meraih RM10,000 sehari.

“Jualan itu termasuklah kuih lain seperti kuih sepit, putu beras dan keropok bawang di kedai saya,” katanya.

Pada masa depan, Norhana berkata, beliau bercadang melakukan promosi melalui medium media sosial dan berhasrat memasarkan produknya ke luar negara seperti Singapura dan Brunei.