Kejadian itu berlaku sewaktu hujan lebat dan ribut melanda negeri ini sejak tengah malam tadi ketika pasangan suami isteri berkenaan, Hasshim Amad, 76, dan Salbiah Man, 74, sedang tidur di bilik utama rumah mereka.

Menurut Salbiah, dia dan suaminya dikejutkan dengan bunyi dentuman yang kuat ketika pokok ketapang yang bersaiz sebesar dua pemeluk itu tumbang dan menghempap rumah mereka.

Ketika itu, katanya, dia tidak menyedari rumahnya dihempap pokok sehinggalah jirannya datang memaklumkan kejadian tersebut kepadanya dan suami yang masih terpinga-pinga di dalam rumah mereka.

“Ketika itu saya dan suami sedang tidur sebelum tiba-tiba dikejutkan dengan bunyi yang kuat.

“Tidak lama kemudian, saya mendengar suara jiran yang memberitahu rumah kami dihempap pokok ketapang.

“Kami kemudiannya terus keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri dan saya bersyukur kerana kami terselamat serta tidak mengalami kecederaan dalam kejadian ini,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Menurut Salbiah, dia sepatutnya bangun menyediakan juadah sahur pada pukul 4.30 pagi tadi, namun bernasib baik kejadian itu berlaku lebih awal memandangkan bahagian dapurnya juga rosak akibat dihempap pokok tumbang.

Katanya, akibat kejadian itu juga, keseluruhan bumbung rumahnya termasuk beberapa barangan dan perabot di dalam rumah turut rosak.

“Buat sementara waktu, saya dan suami akan tinggal di rumah anak kami yang terletak berhampiran sehingga rumah ini dibaik pulih sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz berkata, pasukan bomba dan penyelamat ketika ini sedang giat membersihkan rumah warga emas berkenaan dengan dibantu beberapa anggota jabatan lain.

“Kerja-kerja pembersihan akan mengambil masa kerana pokok yang tumbang itu menghempap keseluruhan rumah dan kita juga terpaksa menggunakan jentera bantuan untuk mengalihkan pokok berkenaan,” katanya. - UTUSAN ONLINE