Pasukan Whatever dengan inovasi bertajuk Farmlogy: Precision farming with IoT and AI muncul juara manakala pasukan 4Dynamo yang menyerlahkan potensi inovasi melalui Intelligent and Responsive Imaging System (IRIS) muncul sebagai naib juara.

Pasukan Whatever tampil dengan inovasi yang membantu para petani mengenal pasti permasalahan tanaman melalui aplikasi teknologi yang lebih sistematik, cekap dan tepat.

Teknologi itu juga berupaya membantu para petani menguruskan hasil tanaman dengan lebih efisien, sifar pembaziran dan berkualiti tinggi.

Sementara itu, teknologi pa­sukan 4Dynamo pula memberi manfaat kepada para pengguna jalan raya melalui inovasi sistem berintegrasi yang dapat membantu menyelesaikan punca utama yang menyebabkan kemalangan dengan memberi amaran secara real time kepada pemandu.

USM mempelopori gerakan Makers di negara ini setelah memulakannya pada Mac tahun lalu hasil cetusan idea Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Asma Ismail.

Program itu yang berlangsung di ibu negara minggu lalu dirasmikan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi, Datin Paduka Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir.

Unimaker 2018 yang dianjurkan bersama Jabatan Pendidikan Tinggi, Universiti Malaya (UM) dianjurkan secara berpe­ringkat-peringkat melibatkan em­pat wilayah termasuk utara, selatan, timur dan tengah.

Sebanyak 20 pasukan teratas yang mengungguli saingan setiap wilayah kemudiannya berentap di peringkat kebangsaan.

Unimaker turut menjadi platform untuk menanam dan memupuk Pergerakan Maker Malaysia yang akan memberi impak besar kepada seluruh mahasiswa dalam melahirkan graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang seperti yang diharapkan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi).