Kamarudin, 50, yang juga Pre­siden Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI) berkata, beliau memulakan kerja-kerja dakwah itu seorang diri pada peringkat permulaan walaupun berdepan pelbagai cabaran.

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana usaha saya selama ini akhir­nya membuka mata pelbagai pihak hingga layak diberikan pengiktirafan sehingga ke peringkat ini.

“Insya-Allah, saya akan me­­neruskan usaha saya ini (berdakwah) untuk meningkat­kan kefahaman masyarakat me­nge­­nai Islam,” katanya.

Kamarudin berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis sambutan Maal Hijrah pe­ringkat negeri di Midtown Perda, Kubang Menerong, di sini hari ini.

Beliau sebelum ini kerap mengendalikan sesi kelas agama membabitkan saudara baharu selain bertanggungjawab membawa masuk beberapa pencera­mah terkemuka seperti Dr. Zakir Naik dan Sheikh Yusuf Estes ke negara ini.

Selaku Tokoh Maal Hijrah, pendakwah yang terkenal dengan kelantangannya mempertahankan Islam itu membawa pulang wang tunai berjumlah RM8,000, trofi serta hadiah sampingan lain yang disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas.

Yang hadir sama isteri beliau, Toh Puan Majimor Shariff; Setia­usaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Farizan Darus dan Timbalan Ke­tua Menteri I yang juga Pengerusi Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) (Agama) negeri, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Selain Tokoh Maal Hijrah, beberapa anugerah lain turut di­sampaikan pada majlis berkenaan termasuk Anugerah Penarafan Bintang Masjid yang diberikan kepada lima masjid terbaik iaitu Masjid At-Taqwa, Masjid Al-Jalal Wal Kamal, Masjid Dato’ Sheikh Adnan, Masjid Lahar Tabut dan Masjid Kebun Sireh.

Turut diberikan Anugerah Sau­dara Kita (Siti Sarah Tan Abdullah), Anugerah Pendakwah Ne­geri (Ridoudin Abdul Wahab) serta Anugerah Bapa dan Ibu Mithali yang masing-masing diberikan kepada Che Sulong Mat dan Datin Kalthum Ibrahim.

Kesemua mereka menerima wang tunai berjumlah RM4,000, sijil penghargaan serta hadiah sampingan lain.