Sehubungan itu Presidennya, S. M. Mohamed Idris menggesa semua pihak tidak lagi mele­ngahkan isu itu dan berganding bahu bersama-sama menghapus atau mengharamkan penggunaan plastik sekali guna di negara ini.

Menurut beliau, pengguna di Malaysia ketika ini masih mempunyai tabiat meminta atau menuntut lebih banyak beg plastik ketika membeli makanan seperti nasi lemak, roti canai dan teh tarik.

“Selain itu, penggunaan beg plastik begitu berleluasa di pasar-pasar basah manakala penggunaan botol air plastik atau cawan plastik pula kebanyakannya tidak dapat dielakkan pada sesuatu majlis atau acara-acara besar.

“Semua ini sebenarnya memberi kesan yang buruk terhadap pengguna itu sendiri,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Dalam pada itu S.M. Mohamed berkata, kajian yang dijalankan baru-baru ini menunjukkan lebih 90 peratus air dalam botol plastik dan 83 peratus air paip mengan­dungi partikel mikroplastik.

Menurutnya, untuk tempoh waktu yang panjang, partikel itu akan meresap ke dalam darah, usus dan paru-paru hingga menyebabkan pengguna berdepan satu wabak kesan daripada penggunaan plastik secara berterusan.

“Penyelidik Belanda dalam kajian mereka juga mendapati plastik menjadi ancaman terhadap hidupan laut khususnya di Laut Utara apabila secara puratanya sebanyak 30 keping plastik ditemukan dalam usus seekor burung camar di kawasan itu,” katanya.

S.M. Mohamed memberitahu, disebabkan terlalu banyak masalah yang dikaitkan dengan plastik, beberapa negara telah mengambil pendekatan mengharamkan atau mengenakan cukai terhadap penggunaan bahan itu termasuk Kenya, Mali, Cameroon, Maghribi, Afrika Selatan dan Botswana.

Katanya, China turut mengharamkan semua beg plastik nipis dan mengenakan cukai tehadap beg plastik tebal manakala beberapa negara Asia lain seperti Bangladesh, Kemboja, Hong Kong, India, Indonesia dan Taiwan juga mengikut langkah yang sama.

“Menghapuskan plastik sekali guna merupakan suatu langkah yang penting dalam mengurangkan jumlah sisa dan pencemaran untuk jangka masa panjang.

“Dalam hal ini, pengguna perlu memainkan peranan mereka dengan menggantikan semua beg plastik dan kertas kepada beg kitar semula,” ujarnya.