Prihatin dengan nasib yang menimpa penduduk terbabit, UMNO Bahagian Batu Kawan memperuntukkan RM50,000 bagi kerja-kerja menggantikan bumbung serta membaiki kerosakan rumah di Kampung Sungai Semilang dan Bagan Nyior.

Ketuanya, Mohd. Noor Ahmad berkata, daripada 18 rumah itu, seba­nyak empat rumah mengalami kero­sakan serius apabila hampir kese­mua bumbung diterbangkan angin.

Menurutnya, kejadian ribut yang bermula pukul 4.45 petang Sabtu lalu adalah yang terburuk di kawasan itu setakat ini biarpun sebelum ini pernah beberapa kali ribut melanda.

“Semua mangsa yang terlibat tidak mendapat bantuan daripada agensi lain jadi kami terpanggil untuk membantu meringankan beban mereka dengan membaiki struktur rumah dan menggantikan bumbung.

“Kita jangkakan kerja-kerja akan mengambil masa selama tiga hari dan kerja-kerja dijalankan secara gotong-royong dengan dibantu penduduk setempat,” katanya ketika ditemui, di sini semalam.

Yang turut hadir Ketua Pemuda UMNO bahagian itu, Mohamad Hilmi Ibrahim dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKP) kawasan itu, Shamsuddin Ahmad.

Sementara itu, Mohamad Hilmi berkata, pihaknya turut menyalurkan bantuan sebanyak RM200 kepada semua ketua keluarga yang terlibat.

Jelasnya, beliau juga menyediakan tenaga kerja dalam kalangan pemuda setempat agar kerja-kerja dapat disiapkan dengan segera.

Dalam pada itu, adik kepada seorang mangsa, Che Na Abdul, 49, berkata, beberapa barangan perabot di rumah kakaknya rosak di­timpa hujan dalam kejadian itu.