MOHD. AFIFI ROSLAN

Eksekutif Kanan, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Zon Utara, Mohd. Afifi Roslan berkata, pihaknya turut komited mempertahankan kewujudan sekolah berkenaan kerana ia bukan melahirkan golongan taksub agama yang berbahaya kepada keharmonian kaum di negara ini.

Dalam soal ini katanya, alasan pihak yang membuat cadangan supaya sekolah tahfiz ditutup hanya kerana beberapa masalah yang dihadapi tidak dapat diterima umat Islam di negara ini.

“Oleh itu kami sangat bersetuju dengan kenyataan Menteri Pendidikan, Dr. Mazlee Malik yang mahu sekolah tahfiz dan madrasah diperkasakan agar pelajarnya tidak dibekalkan dengan ilmu agama semata-mata,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program ziarah pesakit barah di Hospital Pulau Pinang, di sini hari ini.

Isu penutupan sekolah tahfiz tercetus apabila bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin me­nyarankan penutupan semua sekolah tahfiz kerana berpendapat institusi itu tidak memberi harapan kepada generasi baharu Islam.

Kenyataan beliau itu kemudian dibantah umat Islam serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk UMNO dan Pas.

Mengulas lanjut, Mohd. Afifi berkata, pihak berkenaan perlu lebih bersikap terbuka dalam menilai kewujudan sekolah tahfiz kerana telah terbukti ia melahirkan golongan cintakan al-Quran selain ada pelajarnya menjadi teknokrat dengan menjawat ja­watan jurutera dan arkitek.

“Cadangan menutup sekolah tahfiz bukan sebahagian daripada Malaysia baharu yang rakyat pilih. Jika ada masalah, sama-sama kita beri idea untuk menambah baik fungsinya,” ujar beliau.

Berhubung pendekatan dakwah Yadim, Mohd. Afifi berkata, pihaknya akan mengadakan dialog antara agama kerana ia sesuai dengan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Yadim bukan hanya fokus dakwah Islamiah sahaja kerana kita turut dakwah ke arah kebaikan yang mana kami perca­ya agama lain juga menyuruh pe­nganutnya berbuat perkara sama,” katanya.