Tinjauan Utusan Malaysia di Flat Taman Free School, Lengkok P. Ramlee dan Jalan Ismail Chik Matt di sini mendapati sampah ber­kenaan yang diselaputi lumpur dikumpulkan di hadapan kediaman penduduk sejak Ahad lalu dan masih belum dibersihkan.

Seorang penduduk, Hasbullah Mohd. Khalid, 47, berkata, dia sudah menghubungi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) semalam tetapi mereka memaklumkan kerja-kerja pem­­­­bersihan sedang dilakukan di banyak tempat dan memberi jaminan akan mengangkut sampah berkenaan seberapa segera.

“Air yang naik sangat tinggi menyebabkan 90 peratus bara­ngan rumah rosak, jadi kita perlu buang baju, sofa, almari dan buku latihan anak-anak.

“Kebanyakannya baru dibeli bulan lalu selepas banjir 15 September tetapi tidak menyangka kejadian sama berulang,” kata­nya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, K. Sanmugan, 55, berkata, sebaik sahaja air banjir surut, dia yang dibantu anak perempuan dan anak saudara berusia 27 dan 30 tahun mengangkat barangan yang rosak kerana mahu membersihkan rumah da­­ripada lumpur de­ngan segera.

Walaupun berat katanya, dia perlu melakukan itu semua kerana tidak mahu mengharapkan bantuan daripa­da mana-mana pi­­hak, namun sehingga kini, MBPP tidak mengutip sam­pah yang dikumpulkan dan meminta pihak berkuasa tempatan itu menambah keanggotaan sekira­nya tidak mencukupi.

Bagi Lily Goay, 50, yang tinggal di Jalan Ismail Chik Matt, dia membantu ibu mentua berusia 80 tahun mengemas rumah sejak semalam dan terpaksa membuang peralatan yang tidak boleh digunakan di hadapan rumah.

Bagaimanapun katanya, dia hairan kerana MBPP masih tidak mengangkut sampah itu meskipun jalan tersebut merupakan laluan utama.