Ini kerana, pengusaha terbabit, Angeli Choo, 49, berkata, usahanya membuat pelbagai rekaan terompah menggunakan material kayu yang ringan dilihat memberi nafas baharu kepada kasut tradisi keturunannya itu.

Menariknya, dia yang telah menjalankan perniagaan Lebal Patricia Choo Collection di Jalan Burma di sini sejak lebih empat tahun lalu berkata, ciptaan kasut yang telah diinovasikan mengikut kehendak pasaran terkini itu mendapat sambutan banyak pihak.

“Ramai yang berminat dengan rekaan baharu, mereka datang ke kedai saya untuk melihat terompah dan kebanyakannya akan membeli sebagai cederamata dari Pulau Pinang yang hanya berharga antara RM20 hingga RM38.

“Saya boleh menjual kira-kira 10 pasang terompah dalam sehari dan sekiranya terdapat majlis-majlis tertentu, permintaan akan lebih tinggi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kedainya di sini baru-baru ini.

Masyarakat silam menjadikan terompah yang kebiasaanya berwarna merah dan tanpa corak sebagai pengalas kaki bagi menggantikan kasut kerana lebih murah dan tahan lasak.

Terompah yang diperbuat daripada kayu itu bukan sahaja unik dari segi rekaan, malah bunyi seperti ketukan yang terhasil apabila si pemakai berjalan mampu menarik perhatian orang berdekatan.

Tambah Angeli, dia juga menerima ramai pelanggan dari Kelantan yang memborong sehingga 20 pasang terompah dalam satu-satu masa dan difahamkan untuk diletakkan di masjid negeri berkenaan.

“Kebanyakan terompah yang dihasilkan ialah berwarna hijau, mungkin warna itu menggambarkan agama Islam yang tenang dan saya juga dapat merasakan keunikan terompah yang telah banyak dihasilkan untuk kegunaan di masjid,” jelasnya.

Dalam memastikan kepuasan pembeli, dia akan sentiasa menggunakan bahan berkualiti kerana penggunaan terompah semakin meluas dan tidak lagi hanya menjadi kegunaan basahan di dalam rumah.

“Kalau kita lihat, rekaan terompah lama lebih berat. Saya juga ada yang lama tetapi tidak menggunakannya dan hanya simpan di dalam rak sebab tahu ia tidak terlalu mendapat sambutan,” jelasnya.