Menariknya, rangka manusia yang ditemukan sekumpulan pengkaji arkeologi Universiti Sains Malaysia (USM) tersebut berkemungkinan seorang wanita dan dianggarkan berusia antara 5,000 hingga 6,000 tahun.

Rangka yang terdiri daripada tengkorak, tulang paha dan tulang rusuk itu ditemui sewaktu beberapa pekerja sedang menggali kawasan tersebut yang dikenal pasti sebagai tapak pembinaan galeri arkeologi pada masa depan.

Kawasan tersebut yang terletak berhampiran jalan utama di Kampung Guar Kepah itu merupakan tapak arkeologi yang sememangnya terkenal dalam kalangan pakar arkeologi sebelum ini.

Persekitaran kawasan itu suatu ketika dulu pernah menjadi tapak pengkaji British yang menemukan peninggalan rangka manusia di bawah timbunan cengkerang laut yang dipercayai wujud sekitar tahun 1800-an.

Peninggalan tersebut kini disimpan dengan baik di Leiden, Belanda.

Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG), Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Datuk Dr. Mokhtar Saidin berkata, berbanding rangka Perak Man, rangka manusia tersebut ditemui dilokasi yang dahulunya adalah kawasan persisiran pantai prasejarah.

Menurutnya, ini membuktikan kewujudan sebuah komuniti yang pernah menetap di situ dan mengamalkan budaya serta kepercayaan yang khusus.

“Kewujudan peninggalan tembikar yang tertanam bersama rangka tersebut mengesahkan kewujudannya pada zaman neolitik.

“Selain Guar Kepah, cengkerang laut yang sama juga ditemui di kawasan terdapat aktiviti manusia termasuk komuniti pesisiran pantai di beberapa tempat di Indonesia (Aceh, Medan) dan komuniti lain seperti di Senegal,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, penemuan pasukan PPAG USM tersebut juga memberi maklumat baharu dalam catatan sejarah arkeologi negara.

Antaranya penemuan itu merupakan satu-satunya tapak perkuburan timbunan cengkerang yang ditemui di pesisiran pantai tempatan pada ketika ini.

Beliau berkata, penemuan rangka itu juga membuktikan wujud manusia prasejarah neolitik di Semenanjung Malaysia ketika itu, sekali gus yakin merupakan satu-satunya rangka manusia zaman itu yang dijumpai ditanam mengikut adat masyarakat purba menggunakan tembikar, kulit kerang serta kepah.

Mokhtar berkata, rangka dari bahagian pinggul hingga kepala itu ditemukan dalam keada­an sempurna dan tertanam dalam timbunan kerang yang dipercayai menjadi budaya masyarakat pada zaman itu.

“Rangka itu ditemukan dalam keadaan mengiring di sebelah kanan dengan tangan diletakkan pada dada.

“Selain ditimbus dengan kerang, terdapat juga tembikar dan alat peralatan memburu yang diperbuat daripada batu bersama rangka tersebut,” katanya.

Menurutnya, amalan pengkebumian si mati bersama barang­an peribadi termasuk tembikar mengetengahkan bukti terdapatnya upacara pengkebumian khusus ketika zaman tersebut.

“Penemuan ini adalah lebih menyeluruh berbanding dengan penggalian yang pernah dilakukan oleh pihak British pada sekitar tahun 1800 dan telah diterus­kan oleh pihak USM bermula 2010.

“Penemuan ini menyokong dan melengkapkan kajian USM sehingga tahap tertentu tentang peninggalan komuniti prasejarah,” katanya.