Itulah yang dialami pemilik Countryside Stable Penang, Wan Aikhsan Wan Jamil, 57, apabila rancangannya itu yang dicetuskan pada 2012 kini berubah menjadi antara tempat pelancongan utama di negeri ini.

Menariknya, taman seluas tiga hektar di Jalan Sungai Burung, Kampung Jalan Baru itu bukan sahaja dikunjungi pelancong tempatan tetapi turut berjaya menarik minat pengunjung luar negara.

Wan Aikhsan yang juga menjalankan perniagaan sewa kereta berkata, taman tersebut diusahakannya bersama isteri, Amira Lim Abdullah, 50.

Anak jati Pulau Mutiara yang mempunyai empat cahaya mata terdiri daripada dua lelaki dan dua perempuan itu mengakui sokongan keluarga kunci utama kejayaannya.

“Saya bersyukur dikurniakan keluarga yang menyokong dan menjadi tulang belakang sepanjang menubuhkan kawasan rek­reasi ini.

“Isteri saya seorang mualaf dan kami bukan sahaja mempunyai minat sama tetapi keakraban menjadi faktor penting me­ngecapi kejayaan seperti hari ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Dia yang kini mempunyai 47 ekor kuda pelbagai baka dari luar negara juga memberitahu, minat dan ilmu berkenaan perniagaan serta pengurusan kuda digunakan sebaik mungkin dalam perniagaannya itu.

Malah, beliau pernah ke Australia untuk mendalami ilmu berkaitan kuda bagi memastikan aktiviti yang dijalankan benar-benar memberi manfaat kepada pengunjung.

“Membela kuda bukan sahaja aktiviti istimewa disebabkan harganya tinggi tetapi mendatangkan kepuasan selain dapat mendekatkan diri dengan alam semula jadi,” jelasnya.

Countryside Stable Penang memberi peluang kepada orang ramai memberi makan dan me­nunggang kuda selain pelajar sekolah boleh merasai sendiri pengalaman menunggang kuda mini dengan harga berpatutan.

Bagi mereka yang masih amatur dalam bidang tersebut, bayaran RM17 dikenakan untuk kanak-kanak dan RM20 (dewasa), membolehkan mereka memunggang sejauh 200 meter sambil diawasi kakitangan terlatih.

Berbeza dengan golongan mahir dikenakan bayaran RM120 untuk penunggangan selama sejam dan taman itu dibuka bermula pukul 2 petang hingga 7 malam.

Wan Aikhsan berkata, pe­ngunjung perlu berumur se­kurang-kurangnya dua tahun dan mempunyai berat tubuh badan bersesuaian supaya tidak mendatangkan gangguan kepada kuda ketika berjalan dan berlari.

Orang ramai boleh mengunjungi Facebook Caountryside Stable Penang untuk mendapatkan maklumat lanjut atau terus menghubungi pemilik taman rek­reasi itu di talian 012-408 0678 untuk tempahan.