Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, tarif air domesik dan perniagaan di negeri ini hanya disemak sekali dalam tempoh itu iaitu pada 2015.

“Apa yang dianggap sebagai kenaikan kadar tarif air iaitu pada 2010 dan 2013 sebenarnya surcaj pemuliharaan air (WCS) yang melibatkan hanya 23 peratus daripada pengguna dan bukan kesemua pengguna.

“Andaikan Kabinet meluluskan cadangan terkini (kenaikan kadar tarif air) ia adalah kenaikan kali kedua setelah kerajaan baharu mengambil alih pentadbiran negeri,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sebelum ini, Kon Yeow membayangkan kadar tarif air di negeri ini mungkin naik sehingga 20 peratus atau lebih selari dengan penstrukturan industri air yang diumumkan Kerajaan Pusat.

Bagaimanapun, cadangan kenaikan tarif air itu mendapat bantahan pelbagai pihak kerana dikhuatiri meningkatkan beban kewangan rakyat.

Menurut Kon Yeow, perkara tersebut telah dijelaskan beberapa kali oleh kerajaan negeri namun masih ada pihak yang belum memahami isu tersebut secara menyeluruh.

“Pengenalan dan semakan WCS tidak boleh dianggap sebagai semakan tarif air domestik memandangkan pengguna yang menggunakan kurang daripada 35,000 liter sebulan tidak perlu membayarnya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Pembangungan Wanita dan Keluarga di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri di negeri ini bermula bulan ini.

“Penubuhan jawatankuasa ini selaras dengan matlamat kerajaan negeri untuk menjadikan negeri ini sebagai negeri yang memberi fokus kepada pembangunan wanita dan juga keluarga,” katanya. - UTUSAN ONLINE