Ahli Dewan Undangan Nege­ri (ADUN) Machang Bubok, Lee Khai Loon berkata, pada masa sama kerajaan negeri harus duduk berbincang dengan Telekom Malaysia Bhd. (TM) berkaitan kea­daan laluan menuju ke menara pemancar milik mereka ekoran hujan lebat di kawasan itu lewat malam semalam.

Menurutnya, laluan itu kini tidak dapat dilalui apabila terdapat runtuhan di tebing jalan serta dipenuhi lumpur dan batu yang membahayakan pengguna laluan terbabit termasuk pendaki.

“Pada November tahun lepas juga berlaku runtuhan di beberapa kawasan di sini termasuk satu bongkah batu besar yang jatuh menutup laluan ke puncak Taman Rimba ini.

“Jadi saya memohon kerajaan negeri dan pihak TM serta pihak-pihak lain yang berkaitan duduk semeja mencari jalan penyelesaian sama ada jangka pendek atau panjang bagi mengatasi masalah ini,” katanya kepada pemberita ketika melawat Taman Rimba itu hari ini.

Yang turut hadir, Pegawai Perhutanan Seberang Perai Tengah (SPT), Azman Saad.

Pada November tahun lalu, Jabatan Perhutanan negeri menutup kawasan rekreasi terbabit sementara waktu berikutan kejadian tanah runtuh sepanjang laluan menuju ke puncak bukit dan disah­kan tidak selamat kepada pengunjung.

Khai Loon menambah, hasil kajian yang dijalankan terdapat lebih 66 lokasi tanah runtuh yang berlaku di sepanjang laluan itu dan ia ternyata berbahaya kepada pengguna.

Jelasnya, sebagai langkah jangka pendek, pihak Jabatan Perhutanan telah menutup beberapa kawasan yang berlaku gelongsoran tanah dengan kanvas bagi menge­lakkan hakisan lebih teruk.

“Saya dimaklumkan pihak perhutanan juga telah memotong pokok yang berisiko untuk tumbang ke arah jalan dan membahaya­kan nyawa pengguna terutama pendaki di kawasan ini.

“Pada masa ini, taman rimba ini akan ditutup kepada pengunjung dan berharap para pendaki dapat mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan,” ujarnya.