Naib Pengerusinya, Oh Tong Keong berkata, projek itu diumumkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pada 2016 membabitkan kos RM1 juta dan bermula pada Januari lalu.

Ujar beliau, projek itu membabitkan pemasangan pendingin hawa dan menaik taraf tandas tapak penjaja untuk manfaat peniaga dan orang ramai yang berkunjung ke pasar berkenaan.

Bagaimanapun jelasnya, projek itu yang sepatutnya disiapkan pada Julai lalu tertangguh dan gagal disiapkan sehingga ke hari ini meskipun selepas sembilan bulan kerja-kerja penambahbaikan dilakukan.

“Kita mendesak Kerajaan DAP Pulau Pinang khususnya MBPP menjelaskan sejauh mana kemajuan projek ini setakat ini?

“Bilakah projek ini dapat disi­apkan dan berapa banyak pula kos yang sudah dibelanjakan bagi menjalankan projek ini?” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Menurut Tong Keong, para pe­langgan dan peniaga di Pasar Ba­yan Bayu kini tertanya-tanya mengenai projek itu memandang­kan masih belum dapat diguna­kan mereka meskipun sele­pas sembilan bulan kerja-kerja pe­nambahbaikan dilakukan.

Sehubungan itu, beliau mendesak MBPP menjelaskan sama ada berlaku kelewatan dalam projek tersebut serta adakah tindakan sudah diambil terhadap kontraktor yang gagal menyiapkan projek berkenaan.

“Kini selepas sembilan bulan, penduduk tidak melihat sebarang kemajuan daripada projek ini meskipun peruntukan RM1 juta yang dianggap cukup besar sudah diluluskan,” katanya.