Rata-rata pengunjung adalah pelanggan tetap mereka yang ingin mendapatkan pelbagai pilihan pilihan baju kurung mo­den, jubah, baju Melayu atau kurta untuk digayakan pada hari raya.

Menurut pemiliknya, Rozaini Che Bakar, selain menjual pakaian siap dijahit keluaran syarikat lain, Seri Menora juga turut mengeluarkan jenama sendiri iaitu M’Nora Collection.

Selain itu, Seri Menora juga menawarkan pelbagai jenis tudung yang ditempah khas daripada tukang jahit berpengalaman di Kelantan dan sentiasa mengikut peredaran masa serta terkini.

“Sebelum ini pakaian seperti baju kurung moden dan jubah ditempah oleh beberapa tukang jahit terpilih namun kini kami tampil dengan produk jenama sendiri yang mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.

“Ramai yang mengakui pakaian di bawah jenama M’Nora Collection amat selesa dipakai serta tidak panas membuatkan kami berhasrat untuk meluaskan pasaran selepas ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Dibantu suaminya, Mo­hd. Ilhami Che Ahmad, perniagaan Seri Menora dibuka pada Februari 2009 dan kini memiliki dua cawangan di pekan Penanti dan Pokok Sena.

Selain pakaian biasa, Seri Menora juga menjadi pilihan pelanggan yang ingin mendapatkan pakaian seragam sekolah termasuk pakaian unit berunifom serta ka­sut.

“Kami merancang untuk menambah stok kelengkapan hari raya atas jenama sendiri selain berhasrat menambah cawangan di luar Pulau Pinang.

“Selari dengan peredaran zaman, saya juga mula berjinak-jinak dengan perniagaan secara atas talian bagi memberi peluang pelanggan di luar Pulau Pinang mendapatkan koleksi pakaian kami,” ujarnya.

Sementara itu seorang pelanggan, Norzaina Mohd. Helmi berkata, dia sering mendapatkan pakaian seragam sekolah untuk dua anaknya yang bersekolah rendah dan berpuas hati dengan kualiti pakaian di Seri Menora.

“Pada musim perayaan seperti ini ramai pelanggan mendapatkan baju kurung, jubah serta baju Melayu di sini kerana coraknya yang terkini serta selesa dipakai,” katanya.