Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, zaman peme­rintahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan era pentadbiran yang saksama dan adil kepada semua lapisan masyarakat terutama dalam bidang pendidikan.

Kata beliau, pihaknya juga percaya Kementerian Pendidikan yang diterajui Datuk Seri Mahdzir Khalid sentiasa memastikan polisi yang melestarikan hubungan Kerajaan Pusat dan pentadbiran sekolah.

"Kita kenal pasti ada SJKC di kawasan ini menggunakan modal sendiri untuk membina dewan sekolah, kita puji tetapi apa kata mereka panggil pemimpin me­rasmikannya supaya bantuan lain dapat disalurkan selepas itu.

"Saranan ini turut ditujukan kepada sekolah kurang murid yang ramai berfikiran mereka tidak layak menerima bantuan seperti sekolah lain," katanya ketika berucap dalam majlis penyerahan sumbangan bernilai RM125,000 kepada tujuh SJKC di Parlimen itu, di sini baru-baru ini.

Sumbangan berjumlah antara RM10,000 hingga RM30,000 itu disalurkan kepada SJKC Pei Yu; SJKC Mah Hua; SJKC Chin Hwa; SJKC Nung Min; SJKC Shin Chung; SJKC Aik Keow dan SJKC Kuang Yu.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Luar berkata, sumbangan Kementerian Pendidikan itu dilihat sebagai manifestasi Kerajaaan Persekutuan dalam memastikan kualiti pendidikan pelbagai lapisan masyarakat negara ini.

Katanya, usaha itu juga diyakini dapat dimanfaatkan sekolah bagi mengurus pelbagai keperluan untuk meningkatkan mutu pengurusan sekolah ke tahap lebih baik.