Pengarah PPDNKK negeri, Mo­hd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, pemantauan yang bermula secara intensif pada 24 Mei lalu dan berakhir pada 31 Mei lalu telah me­ngumpul data 14,730 barangan dan perkhidmatan di seluruh negeri.

Menurutnya, selepas pelaksa­naan kadar GST sifar peratus, peniaga diberikan tempoh tiga hari untuk mengemas kini sistem mereka bagi kemudahan pengguna.

“Kita menjalankan pemantauan kutipan harga di 491 premis melibatkan 14,730 barangan dan perkhidmatan bagi mendapatkan kadar harga sebelum dan selepas pelaksanaan GST sifar peratus.

“Operasi ini dimulakan sejak minggu lalu dan selepas ini pemantauan itu akan berterusan bagi membandingkan harga barangan pada kadar GST enam pe­ratus dan harga baharu,” katanya selepas mengadakan tinjauan di pasar raya besar Tesco Extra, di sini baru-baru ini.

Mohd. Ridzuan berkata, hasil tinjauan yang dijalankan bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) itu mendapati arahan kerajaan untuk menetapkan kadar GST kepada sifar itu dipatuhi.

Katanya, bagi memberi kemudahan kepada pengguna me­nyalurkan maklumat sekiranya terdapat pihak melanggar arahan itu, PPDNKK negeri membuka bilik gerakan di ibu pejabat mereka di Georgetown sehingga pukul 10 malam.

“Selain itu, kita juga buka bilik gerakan di pejabat cawangan ­PPDNKK Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Utara dari pukul 8 pagi hingga pukul 6 petang.

“Orang ramai boleh mengambil peluang ini untuk menyalurkan maklumat sekiranya terdapat peniaga tidak mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan,” katanya.