Presidennya, S.M. Mohamed Idris berkata, kerajaan juga perlu membentuk satu suruhanjaya untuk memantau secara khusus sektor pemanduan bas dan lori komersial.

Ini kerana, menurut beliau, tinjauan pihaknya mendapati antara 2007 dan 2016, kemalangan membabitkan lori dan bas sahaja mengakibatkan 2,525 kematian di jalan raya.

“Kerajaan perlu mengambil langkah-langkah yang tegas bagi memastikan kemalangan maut membabitkan bas dan lori kargo komersial dapat dikurangkan,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat CAP di sini hari ini.

Pada Ahad lalu, satu lagi kemalangan maut membabitkan bas berlaku dengan 12 mangsa maut selepas bas yang dinaiki mereka terbabas sebelum terjunam ke dalam longkang sedalam 10 meter di Jalan S8 Pekeliling berdekatan MASkargo di KLIA.

Menurut S. M. Mohamed, selain itu kerajaan juga perlu mengawal pemberian lesen kenderaan komersial bagi mencegah persaingan yang sihat antara pengendali.

“Pemberian lesen yang tidak terkawal untuk syarikat-syarikat pengangkutan membawa kepada persaingan yang tidak sihat.

“Syarikat pengangkutan akan cuba mencari helah dengan membayar gaji yang sangat rendah dan mengabaikan kebajikan pemandu,” katanya.

Dalam masa sama, beliau mendesak mana-mana syarikat pengangkutan yang didapati melanggar undang-undang melibatkan pekerja ditamatkan lesen manakala pemiliknya diarah melakukan kerja-kerja sosial sebagai hukuman. – UTUSAN ONLINE