Sinonim dengan nama tersebut Abdul Latiff SK. Abdul Karim, 59, yang sudah dikenali ramai itu hanya berniaga berasaskan tepung gandum sahaja.

Menurutnya, sejak 1957 perniagaan menjual kuih cakoi atau mudah dikenali sebagai ‘pak tongko’ ini bermula dengan mewarisi perniagaan itu daripada datuk dan bapa mertua.

Cakoi Pak Tongko

ABDUL LATIFF SK. ABDUL KARIM cekap membuat kuih cakoi di Jalan Hutton, Georgetown, Pulau Pinang baru- baru ini. UTUSAN ONLINE/Sazali Che Din

“Mungkin nama ini sudah sinonim dengan masyarakat setempat dari awal pembukaannya, maka tidak hairanlah nama dan kuih yang saya usahakan masih mendapat permintaan pelanggan,” jelasnya ketika ditemui Utusan Online baru- baru ini.

Abdul Latiff berbakat dalam bidang perniagaan ini sejak mengambil alih dari datuknya yang juga pelopor awal penjualan kuih cakoi ini.

Menurutnya, perniagaannya bermula pukul 12 tengah hari sehingga pukul 7 malam dan mampu meraih pendapatan RM30 hingga RM40 sehari.

Berbekalkan basikal tiga roda katanya, dia berniaga di kawasan Jalan Hutton iaitu kawasan strategik dan berdekatan dengan pusat Bandar Georgetown.

“Negeri ini merupakan hab makanan tradisi sentiasa melekat di hati pengunjung terutama yang datang bercuti mahupun bertugas di luar daerah.

“Selain nasi kandar, cendol, laksa dan jeruk pala sudah tentulah ‘pak tongko’ menjadi tarikan utama ke sini, “ ujarnya. - UTUSAN ONLINE