Setiausahanya, Ir. Tang Heap Seng berkata, tinjauan pihaknya mendapati sistem saliran di beberapa kawasan tidak diselenggara dengan sempurna termasuk di penuhi sampah-sarap.

Antaranya, kata beliau, seperti yang berlaku di saliran Taman Lau Geok Sui; parit konkrit di Taman Lumba Kuda dan saliran Sungai Dondang; Sungai Air Itam dan Sungai Air Putih.

“Kesemua kawasan ini sebelum ini tidak pernah dilanda banjir tetapi kini berdepan bencana itu setiap kali hujan lebat kerana masalah perparitan tidak sempurna.

“Masalah ini perlu diatasi se­gera sebelum hujan lebat melanda semula, jika tidak masalah banjir kilat tidak mungkin dapat diselesaikan,” katanya kepada pembe­rita di sini hari ini.

Menurut Heap Seng, kegagalan sistem perparitan dan saluran itu diburukkan lagi dengan mendakan tanah yang diakibatkan oleh aktiviti penggondolan bukit bagi projek pembangunan.

Sehubungan itu, beliau mendesak Kerajaan DAP Pulau Pinang bertegas dengan pihak pemaju dan mewajibkan mereka menyediakan sistem saliran sempurna terlebih dahulu sebelum memulakan sebarang projek di kawasan berisiko seperti di lereng bukit.

Dalam masa sama, ujar beliau, kerajaan negeri sendiri bertanggungjawab menyediakan kolam takungan tambahan untuk menakung aliran hujan seterusnya mengelak daripada melimpah ke kawasan penempatan penduduk.