Ini kerana, kata Naib Presiden Gerakan negeri, Oh Tong Keong, Kerajaan DAP Pulau Pinang dilihat memberi kenyataan bercanggah mengenai operasi itu sehingga mengelirukan dan menjejaskan pengusahanya.

Menurut beliau, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan kerajaan negeri ketika ini saling menuding jari antara satu sama lain berhubung penguatkuasaan operasi itu sedangkan draf pengawalannya sudah dibuat tahun lalu.

“Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir negeri, Chon Kon Yeow mendakwa ‘tidak berapa tahu’ tentang peraturan berkaitan operasi basikal empat roda ini.

“Ini adalah sesuatu yang mengejutkan dan tidak sepatutnya berlaku dalam kerajaan negeri yang mendakwa mengamalkan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai keluhan pengusaha operasi basikal empat roda itu baru-baru ini dengan tindakan MBPP mengeluarkan saman sehingga RM500 kononnya meletakkan kenderaan tersebut di kawasan larangan.

Sedangkan menurut mereka, peraturan itu tidak pernah dimaklumkan kepada mereka sebelum ini sekali gus menyifatkan tindakan tersebut sebagai keterlaluan dan tidak munasabah.

Dalam pada itu, Tong Keong menggesa Kerajaan DAP Pulau Pinang segera menyelesaikan isu tersebut memandang­kan pengusaha basikal empat roda berkenaan kini bimbang untuk meneruskan operasi sekali gus menjejaskan pendapatan mereka.

Menurutnya, kerajaan negeri perlu membuat pendirian tegas sama ada mahu membenarkan operasi perkhidmatan itu atau sebaliknya menerusi satu polisi atau peraturan yang jelas.

“Kita tertanya-tanya sama ada kerajaan negeri mempunyai kehendak atau keupayaan untuk mengesahkan basikal empat roda ini dari segi undang-undang atau sedar ia melibatkan jabatan-jabatan dalam kerajaan, dan sukar untuk melaksana dan me­ngawal selia operasi ini?” katanya.