Bertemakan Potential: Dari Ki­sah Silam, Untuk Masa Kini, Demi Masa Hadapan, pelbagai program dianjurkan menerusi Festival Jalanan pada sambutan itu yang bermula pukul 7 hingga 11 malam.

Mengambil tempat di sepan­­jang Lebuh Armenian dan kawasan sekitarnya di ­tengah-tengah pusat bandar raya George­town, ribuan pengunjung khususnya pelancong dari dalam dan luar negara tidak melepaskan peluang bersama-sama meraikan sambutan hari bersejarah ber­kenaan.

Lebih menarik, festival itu turut mendapat sokongan dan kerjasama kira-kira 21 komuniti atau kumpulan masyarakat setempat yang selama ini menghidupkan Georgetown sebagai sebuah kawasan dengan latar belakang pelbagai kaum dan agama.

Kesemua komuniti itu menawarkan pengalaman budaya dan corak hidup menerusi 21 bengkel komuniti bertemakan Perayaan Kemakmuran, Kraf Buatan Ta­ngan, Keenakan Rasa dan Akti­viti Leisure.

Menerusi bengkel-bengkel itu, pengunjung berpeluang merasai pengalaman keunikan ciri-ciri budaya dan tradisi setiap komuniti melalui makanan, per­mainan, kraf tangan dan bahasa.

Aktiviti berasaskan pera­ya­an warisan pula memberi pe­luang kepada pengunjung menjejaki tapak warisan dengan mengunjungi sebanyak lapan rumah ibadat di sekitar pusat bandar antaranya Masjid Kapitan Keling, Masjid Melayu Lebuh Acheh, Gereja St. George, Gereja Assumption, Kramat Dato Koyah, Kuil Nattukotai Chettiar,Gurdwara Sahib Polis dan Kuil Thai Pak Koong.

Menurut Pengurus Besar Perbadanan Warisan Dunia Georgetown (GTWHI), Dr. Ang Ming Chee, ulang tahun ke-10 Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia disambut dalam semangat bandar raya itu yang kekal sebagai sebuah bandar kosmopolitan dinamik sejak penubuhannya kira-kira 232 tahun lalu.

Jelasnya, Georgetown merupakan tapak awal kepada ge­nerasi terdahulu melakukan pertukaran barangan, idea, tradisi, makanan, muzik dan pelbagai ak­tiviti lain.

Pada masa sama, ujar beliau, generasi awal kota itu turut mempelajari, menghormati dan menerima kepelbagaian budaya dalam suasana yang terbuka serta memberi penghargaan antara satu sama lain.

“Pengalaman dahulu telah mem­perkaya identiti penduduk di Georgetown khususnya dan Pulau Pinang amnya. Kami berasa bangga untuk mewarisi adat resam, gaya hidup, monumen dan barangan yang diturunkan dari generasi ke generasi.

“Di samping itu, kami juga mengalami jatuh bangun semasa melakukan usaha pemeliharaan dan penjagaan warisan budaya dan saya melihat sambutan hari ini adalah peluang yang baik ke arah usaha memelihara dan menjaga warisan budaya Georgetown,” katanya.

Beliau berucap dalam majlis pelancaran sambutan ulang tahun ke-10 Georgetown sebagai Tapak Warisan Dunia di Lebuh Armenian di sini yang di­sempurnakan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Dalam majlis sama, Kon Yeow turut merasmikan tugu plak bagi meraikan 10 tahun perkemba­ngan sejak Georgetown dan Me­laka (bandar-bandar bersejarah di Selat Melaka) disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia.