Menurut Mariatul Munirah, 30, dia yang mendapat maklumat mengenai program itu melalui Facebook teruja untuk mendapatkan barangan yang dijual pada harga yang jauh lebih murah daripada biasa.

Katanya, dia sanggup menaiki bot bersama beberapa penduduk kampung untuk membeli terus barangan segar seperti sayur-sayuran, buah-buahan yang ditawarkan sepanjang program itu.

“Sebaik sahaja dapat tahu tentang program ini melalui Facebook, saya sanggup menaiki bot meredah laut untuk datang ke sini kerana saya tahu banyak barangan yang dijual pada harga yang lebih murah.

“Tapi saya sedikit kecewa kerana tiba agak lambat, jadi tidak sempat membeli beberapa barang keperluan seperti minyak masak yang hanya dijual pada harga RM10 untuk lima kilogram (kg) dan gula yang dijual pada harga RM2 sekilogram,” katanya.

Program MyBest Buy itu diadakan bermula pukul 9 pagi hingga 2 petang pada 2 Oktober lalu bertujuan untuk meri­ngankan beban rakyat terutama dalam membeli barang ke­perluan dapur de­ngan harga lebih murah berbanding di pasar awam.

Selain minyak masak dan gula, turut dijual adalah buah-buahan seperti pisang, jambu batu, nanas, rambai, betik, cempedak dan rambutan serta sayur-sayuran, ubi dan bawang.

Pada program itu, pengunjung bukan sahaja boleh membeli barangan komoditi tetapi juga hasil keluaran usahawan tempatan serta hasil tanaman yang dijual terus dari ladang.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung Siti Salbiah Shukor, 25, berkata, dia bersama ibunya hadir ke program itu sejak pagi untuk tidak melepaskan peluang mendapatkan minyak masak murah.

Jelasnya, dia terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan barang kawalan itu kerana setiap pengunjung hanya dibenarkan membeli sebotol minyak dan 2kg gula sahaja.

“Langkah seper­ti ini bagus kerana dapat elakkan ada pihak yang ambil ke­sempatan dengan memborong bara­ngan terbabit sehingga orang lain tidak dapat beli.

“Saya tak kisah terpaksa beratur pan­jang kerana berbaloi dapat beli banyak barangan yang dijual pada harga murah di sini,” ujarnya yang tinggal di Guar Perahu.

Tambahnya, dia juga tidak akan melepaskan peluang untuk hadir ke program itu pada masa akan datang kerana difahamkan program itu akan diadakan setiap bulan.

Dalam pada itu, bagi peniaga Ibrahim Roslan, dia berpuas hati dengan jualan sepanjang program itu kerana dapat memasarkan sendiri produk keluaran ladangnya seperti pisang bera­ngan, betik, tembikai dan jambu batu.

Katanya, peluang yang diberikan oleh FAMA itu amat baik kerana membantu usahawan kecil untuk mendapatkan pasaran terus kepada pelanggan serta memberi keuntungan kepada peniaga.

“Sebelum ini saya adalah peserta ladang kontrak dengan FAMA jadi dengan adanya program MyBest Buy ini, peluang pasaran saya semakin berkembang dan dapat jumpa lebih ramai pelanggan.

“Pastinya saya akan sertai program ini lagi pada masa akan datang sebab potensi jualan adalah tinggi serta banyak barang yang dibawa habis dijual dalam masa singkat,” katanya.