Senarai pelajar atau digelar Frees yang pernah bersekolah di PFS terlalu panjang untuk dise­but memandangkan ia telah wujud sekian lama.

Ia juga merupakan gedung ilmu ramai tokoh terkemuka dalam sejarah negara antaranya Ketua Menteri pertama serta negarawan yang mengetuai misi memperoleh kemerdekaan iaitu Tunku Abdul Rahman.

Pelakon, penyanyi, pengarah serta komposer tersohor negara, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee juga pernah bersekolah di PFS. Tokoh pendidik, ahli politik serta penulis, S.M Zainul Abidin juga adalah bekas pelajar PFS.

Nama-nama besar Frees yang lain termasuk Tun Dr. Lim Chong Eu, Raja Perlis yang pernah dilantik Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail; Ketua Hakim pertama Singapura, Wee Chong Jin dan bekas Pengarah Urusan DRB Hicom Bhd., Tan Sri Mohd. Khamil Jamil.

Sekolah ini diasaskan oleh Rev. Robert Sparke Hutchings di Love Lane pada 21 Oktober 1816 sebelum dipindahkan ke Farquhar Street dan kemudian ke lokasi sekarang, di Jalan Masjid Negeri (sebelum ini dikenali sebagai Green Lane). Guru besar pertama PFS ialah James Cox (1816-1821).

Alumni

Mereka yang pernah menje­jak­kan kaki ke PFS pastinya akan berasa bersyukur kerana keja­ya­an yang dikecapi hari ini antaranya adalah hasil pendidikan di sekolah hebat itu.

Antaranya, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam yang menjadi pelajar PFS dari 1966 hingga 1972.

Beliau yang bersekolah dari tingkatan satu hingga tingkatan enam di PFS menyifatkan tempoh persekolahan menengah itu sebagai titik perubahan paling penting dalam hidupnya.

“Sekolah itu banyak mempengaruhi diri saya dalam erti kata menukar diri saya daripada pelajar yang tak kisah apa-apa kepada seorang anak muda yang berkeya­kinan tinggi serta berfikiran kritikal,” Subramaniam memberitahu Bernama dalam satu wawancara.

Sehingga hari ini, PFS hanya menerima pelajar cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Menurut beliau, persekitaran intelektual yang disediakan oleh sekolah itu banyak membantu pelajar untuk memperoleh kecemerlangan.

Tambah beliau, di samping pendidikan formal dalam kelas, pelajar banyak juga beroleh pengetahuan menerusi interaksi de­ngan pelajar di luar kelas serta di padang sekolah.

“Setiap pelajar didedahkan dengan pelbagai jenis sukan dan saya sendiri aktif da­lam larian dan bermain hoki.

“Di sam­ping itu, saya aktif dalam kum­pulan debat dan berlakon dalam drama sekolah. Antara watak yang pernah saya lakonkan ialah sobriquet, askar upahan India dalam pasukan tentera China untuk drama sekolah bertajuk Hwa Mu Lan (Lady General),” katanya.

PFS dengan cogan kata Fortis Atque Fidelis dalam bahasa Latin­ bermaksud ‘gagah dan setia’ menerima taraf sekolah kluster pada tahun 2007.

Nama tinggal nama

Bagaimanapun, ada bekas pelajar PFS mengeluh bahawa sekolah itu sudah tidak lagi cemerlang.

Buktinya keputusan Sijil Pela­jaran Malaysia (SPM) 2015 yang tidak menyenaraikan PFS dalam senarai 10 sekolah teratas Gred Purata Kebangsaan (GPN)di Pulau Pinang.

Tahun lepas, sekolah itu hanya menghasilkan dua pelajar yang mendapat semua A+.

Subramaniam serta ramai rakan sekolahnya mengeluh melihat bagaimana dari hari ke hari, PFS semakin hilang kehebatannya.

“Sebagai bekas pengawas sekolah, saya amat sedih dengan keadaan ini. Beberapa orang daripada kami (pelajar lama) mahu mengembalikan kegemilangan sekolah ini. Sebagai antara sekolah yang tertua di negara, maruah PFS perlu dipelihara,” katanya.

Memori indah

Seorang lagi pelajar terkenal PFS ialah Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Prof. Datuk Dr. Omar Osman yang menyimpan banyak kenangan manis.

Bersekolah di PFS dari tahun 1971 hingga 1977, beliau adalah antara pelajar dalam kumpulan pertama dipilih untuk program khas yang memberi peluang pelajar dari luar bandar mema­suki sekolah elit bandar.

Menurut beliau, PFS memberi peluang kepada pelajar meraih kecemerlangan serta mengasah kebolehan diri sendiri di bawah peraturan serta disiplin yang ketat.

“Kami tinggal di asrama sekolah dengan penyeliaan ramai warden termasuk Lau Lee Chian, mendiang N. Velupillay dan Mohd. Yusof Baharum. Lee Chian ba­nyak me­nerapkan aspek nilai kehidupan di bandar dan berdikari.

“Saya mengambil tambahan setahun sebahagian besarnya untuk belajar bahasa Inggeris memandangkan bahasa perantara PFS adalah bahasa Inggeris sebelum saya ke Universiti Teknologi Malaysia selepas tamat tingkatan enam atas,” katanya.

Omar aktif semasa di PFS. Beliau menyandang jawatan pengawas kanan, Timbalan Kapten Asrama dan Kapten Rumah Pinhorn.

Beliau berkata, pelajar PFS masih berpegang teguh kepada cogan kata sekolah iaitu gagah dan setia dan masih bertanya khabar antara satu sama lain.

“Sekali sekala kami akan berjumpa untuk sesi minum teh tarik dan bagi saya, cogan kata sekolah ini akan terus memberi inspirasi kepada pelajar untuk abad-abad akan datang. PFS bukan semata-mata sekolah tetapi sebuah institusi,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Gabenor, Datuk Abdul Rafique Karim berkata, sekolah itu menjangka dianugerahkan taraf wa­risan menjelang ulang tahun­nya yang ke-200 pada 21 Oktober ini.

Pihak lembaga, kata beliau, te­lah menyusun pelbagai atur cara termasuk majlis makan malam gala. Dianggarkan sekitar 3,000 bekas pelajar dari seluruh dunia akan hadir pada majlis berkenaan.

“Kami akan adakan majlis makan malam ini di halaman sekolah dan kami berbangga kerana Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail, juga bekas Frees berkenan mencemar duli ke majlis ini,” katanya. – BERNAMA