Konflik mula timbul apabila masyarakat kampung berpecah malah ada yang mendakwa sesiapa yang menunaikan solat di masjid itu tidak mendapat pahala.

Selain itu, terdapat penduduk yang menunaikan solat di masjid lain di kampung berhampiran mengakibatkan suasana di situ tidak harmoni.

Namun, semua kekusutan itu terlerai hujung tahun lalu apabila Majlis Jawatankuasa Fatwa Ne­geri Pulau Pinang yang bersidang pada 18 dan 19 Disember membuat keputusan berkaitan isu terbabit.

Pengerusinya yang juga Mufti negeri, Datuk Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, mesyuarat itu memutuskan solat yang dilakukan di masjid tersebut adalah sah dan memperoleh pahala.

Menurutnya, biarpun haram membina masjid daripada sumber haram seperti loteri kebajikan masyarakat, namun masjid yang dibina itu harus digunakan seperti masjid-lain lain.

“Wang daripada sumber haram atau tidak patuh syariah boleh digunakan untuk kepen­tingan orang Islam seperti membina jambatan, pondok, masjid, hospital, sekolah, jalan raya dan sebagainya apabila pelakunya bertaubat.

“Jadi tiada masalah untuk bersolat di masjid ini kerana hukumnya adalah sah dan mendapat pahala,” katanya ketika mengadakan pertemuan dengan kariah masjid itu di sini kelmarin.

Katanya, keputusan itu akan diwartakan dalam masa terdekat dan boleh diguna pakai oleh masjid lain yang mungkin dibina de­ngan dana sama.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Rantau Panjang, Rosli Hamid berkata, keputusan tersebut melegakan penduduk dan jemaah masjid berkenaan kerana persoalan itu timbul sejak sekian lama.

Menurutnya, semua masalah itu timbul ketika awal pembinaan masjid itu bagi menggantikan masjid lama yang sering ditenggelami banjir dengan menggunakan dana loteri kebajikan masyarakat.

“Muncul pelbagai pendapat dan pandangan berkaitan isu itu daripada banyak pihak menyebabkan wujud konflik dalam kalangan jemaah dan ada yang memboikot untuk solat di sini.

“Tapi hari ini, persoalan itu terjawab malah diumumkan sendiri oleh Mufti, jadi saya berharap ia dapat diterima dengan hati terbuka oleh pelbagai pihak kerana ia juga dibuat berdasarkan ayat al-Quran serta pendapat ulama,” katanya.