Timbalan Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya berkata, hal ini kerana BN tidak pernah memungkiri janjinya untuk menjaga kebajikan rakyat khususnya dalam isu perumahan.

“Sebagai contoh di bawah Perda (Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang), kita bina rumah semi-D (rumah berkembar setingkat) yang harganya RM140,000 termasuk tanah.

“Uniknya, rumah ini akan di­sewa kepada rakyat dengan kadar amat murah dan ini boleh menyelesaikan masalah bagi mereka tidak mampu membayar deposit 10 peratus untuk membeli rumah dan sebagainya,” katanya selepas melancarkan Projek Perumahan Sejahtera Rakyat (PPSR) di Kuala Sungai Pinang, di sini semalam.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Perda, Rosman Hashim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah; ADUN Pulau Betong, Datuk Muhamad Farid Saad dan ADUN Bayan Lepas, Nordin Ahmad.

Dalam pada itu, Rosman memberitahu, pihaknya memperuntukkan hampir RM7 juta untuk membina 52 unit rumah berkembar setingkat di Mukim B, Kuala Sungai Pinang di sini.

Rosman berkata, projek pembinaan itu dijangka bermula hujung bulan ini dan mengambil masa sehingga 18 bulan untuk disiapkan.

“Antara kriteria ditetapkan da­lam pemilihan peserta termasuklah golongan miskin produktif yang tidak mempunyai rumah tetap atau setinggan dan mempunyai anak ramai, ibu tunggal dan sebagainya,” katanya.