Terbaharu, penyelidik USM dari Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-ubatan yang diketuai Pengarahnya, Prof. B. Vickna­singam dipilih menerima geran berjumlah RM5.8 juta daripada Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH) Amerika Syarikat.

Geran itu yang tertinggi diterima penyelidik USM tahun ini bagi menjalankan kajian berhubung kaedah perubatan terbaik dalam kalangan penagih dadah dan penghidap HIV dan AIDS.

Kajian yang memakan masa selama lima tahun itu akan dijalankan secara kerjasama dengan penyelidik daripada Sekolah Perubatan Yale yang diketuai Prof. Marek Chawarski.

Menurut Vicknasingam, menerusi kajian itu, beliau berharap dapat membangunkan satu kaedah perubatan bagi menyokong pesakit yang bergantung kepada dadah dan yang menghidap HIV/AIDS.

“Model penjagaan yang diperkemas dan dinilai itu akan melibatkan kaedah penja­gaan biasa yang disokong oleh aspek pendidikan serta latihan kakitangan perubatan di klinik rawatan HIV dan AIDS serta metadon,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Chawarski berkata, kerjasama tersebut merupakan usaha penting secara jangka panjang dalam mewujudkan garis panduan dan polisi kesihatan lebih baik bukan hanya di negara ini malah seluruh dunia.