Malah, kejadian itu yang memusnahkan bumbung 20 rumah penduduk, turut menyebabkan tingkat atas markas Pas yang dijadikan Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Nurul Iman roboh.

Menurut salah seorang mangsa, Rosnizan Mat Isa, 43, ribut yang bermula kira-kira pukul 6.45 petang itu berlaku hampir 10 minit sebelum hujan lebat mengakibatkan rumah mereka dimasuki air.

“Ini kali pertama kejadian seumpama ini berlaku di sini sebab sebelum ini hanya angin biasa, tidak pernah lagi sehingga ba­nyak pokok tumbang dan bumbung rumah penduduk tercabut.

“Ketika kejadian saya me­ngasuh anak jiran selain menjaga emak saya, Che Zah Din, 70, yang uzur dan berkerusi roda. Kami berkumpul di tengah rumah akibat terlalu takut dengan bunyi angin yang kuat,” katanya yang menganggarkan kerugian hampir RM1,000.

Dalam pada itu, pelbagai pihak hari ini tampil membantu mangsa ribut di situ termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pinang Tunggal Datuk Roslan Saidin.

Turut turun padang adalah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Seberang Perai Utara (SPU) dan Majlis Perbandaran Seberai Perai (MPSP) yang meninjau ke­rosakan serta menjalankan kerja-kerja pembersihan.

Sementara itu, Roslan berkata, beliau telah mengarahkan pimpinan tempatan untuk menjalankan kerja-kerja baik pulih dengan segera dan telah melantik beberapa kontraktor untuk melaksanakan tugas itu.

“Hari ini saya sampaikan sumbangan awal untuk markas ini dan telah arahkan kerja-kerja pembaikan bumbung dilaksanakan segera agar penduduk dapat teruskan kehidupan seperti biasa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas melawat markas Pas itu bersama Yang Dipertua Pas Kepala Batas, Bu­khori Ghazali.

Sementara itu, Bukhori berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih atas keprihatinan yang ditunjukkan Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang menghulurkan bantuan segera bagi membaiki pusat itu.

Jelasnya, buat sementara waktu, seramai 70 kanak-kanak yang belajar di Pasti itu akan dipindahkan ke lokasi lain sebelum memikirkan sama ada untuk membenarkan mereka kembali ke sini dan belajar di bawah khemah.

“Apa yang utama adalah ke­selamatan dan keselesaan kanak-kanak ini untuk mereka belajar dan kami akan menjalankan kerja-kerja pembersihan dengan segera,” ujarnya.