Dinamakan Program Kayuhan Santai Solidariti PDRM, le­bih 3,000 peserta pelbagai latar belakang mengambil bahagian dalam acara berkenaan yang diadakan di jambatan terpanjang di Asia Tenggara itu.

Menariknya, para peserta bukan hanya ‘berkayuh’ di atas jambatan sahaja sebaliknya mereka dilepaskan dalam acara penuh meriah di kawasan terbuka pusat beli-belah Queensbay Mall di Bayan Baru di sini oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Secara keseluruhannya, kesemua peserta perlu menamatkan kayuhan sejauh 52 kilometer (km) iaitu bermula dari tempat pelepasan menuju ke Persiaran Seagate, Batu Maung sebelum menelusuri laluan sepanjang 24 km di atas JSAHMS ke Batu Kawan dan berpatah balik ke tempat pelepasan.

Menyedari aktiviti berkenaan semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat, Noor Rashid berkata, sukan berbasikal juga dapat mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan anggotanya selain memberi kesan positif ketika melaksanakan tugas.

Ujar beliau, PDRM bercadang untuk menjadikan aktiviti kayuhan santai itu sebagai acara riadah bagi semua kontinjennya di seluruh negara dalam masa terdekat.

“Pada masa sama, aktiviti ini dapat mengeratkan hubungan antara polis dengan masyarakat yang mana ia sangat penting dalam tugas mencegah jenayah.

“Saya difahamkan di Pulau Pinang memang nanyak aktiviti kayuhan seumpama ini dan ba­nyak laluan yang menarik untuk diterokai,” katanya selepas perasmian program berkenaan baru-baru ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik; Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teluk Bahang, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah.

Acara berkenaan turut dimeriahkan dengan persembahan bunga api, tarian senamrobik serta persembahan pasukan tatu PDRM.

Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) merupakan antara kontinjen yang menghantar penyertaan terbesar iaitu seramai 104 orang dalam Program Kayuhan Santai Solidariti berkenaan.

Ketua Polis Daerah SPT, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Hamid berkata, pasukan berbasikal Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPT turut mempunyai pasukan berbasikal sendiri yang dinamakan SPT Cycling Club yang ditubuhkan sejak setahun lalu dan mempunyai 200 orang ahli.

Katanya, kebiasaannya pasukan berkenaan melakukan akti­viti bersama pasukan berbasikal di daerah itu termasuk di sekitar Bukit Mertajam dan Alma.

“Aktiviti berbasikal telah dijadikan acara masyarakat di sini sejak setahun lalu malah kayuhan yang dianjurkan IPD SPT juga disertai masyarakat sekitar.

“Sebenarnya, ia juga merupakan kaedah untuk memastikan anggota dan pegawai polis di SPT sentiasa dalam keadaan cergas untuk melaksanakan tugas masing-masing,” katanya yang turut menyertai acara kayuhan pada malam berkenaan.

Sementara itu, UMNO Bahagian Permatang Pauh turut tidak terkecuali mengambil bahagian dalam acara berkenaan menerusi penyertaan pasukan Amou­ries.

Ketuanya, Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said berkata, sempena program berkenaan, pihaknya menghantar 25 peserta.

“UMNO bahagian telah me­nu­buhkan pasukan berbasikal sejak 2016 yang mana ia menge­ratkan hubungan kita dengan masyarakat setempat teruta­manya golongan belia yang berminat dengan aktiviti berke­naan.

“Kami juga sering menganjurkan program kayuhan di sekitar Permatang Pauh dan adakalanya menjangkau sehingga Sungai Petani, Kedah,” ujarnya.