Ksenia Kondratenko, 24, berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dan menerima skrol dalam sidang kesembilan yang di­pengerusikan Naib Canselor USM, Prof. Datuk Dr. Asma Ismail.

Kondratenko berkata, pengalaman di USM merupakan fasa pen­ting dalam kehidupannya kerana banyak mencorak keperibadiannya menjadi seorang yang lebih bertanggungjawab.

“Saya ke sini dengan hanya berbekalkan semangat ingin menuntut ilmu dan sepanjang lima tahun di sini, banyak saya pelajari termasuk mengenali kepelbagaian budaya dan meraikan keunikan di negara ini yang tidak ada di tempat lain,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Dia yang juga anak tunggal kepada pasangan Eduard, 45, dan Olga, 44, berkata, walaupun keluarganya tidak dapat bersama pada hari penuh bersejarah buatnya itu, dia tidak berasa kesunyian kerana ditemani ramai kawan.

“Saya tidak silap apabila memilih USM dan jika saya berpeluang dikurniakan anak-anak kelak, saya akan menggalakkan mereka untuk memilih USM sebagai destinasi pengajian tinggi mereka,” katanya yang juga sangat berminat mendalami bahasa Melayu.

Kondratenko kini turut ditawarkan bekerja dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan khidmat komuniti kepada golongan kurang berkemampuan dan keciciran termasuk masyarakat Orang Asli.

Dia mengambil pengkhususan dalam kerja sosial kerana mencintai kerja-kerja yang di­lakukannya kini iaitu memperkasa komuniti melalui pe­ngajaran bahasa Inggeris secara percuma dan kemahiran teknikal untuk manfaat kehidupan mereka.