Muhamad Farid Saad

Sambil melahirkan rasa kecewa dengan perkara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Datuk Muhamad Farid Saad berkata, kegagalan tersebut juga menyaksikan empat kawasan di Seberang Perai Tengah (SPT) dilanda banjir sebanyak 21 kali tahun lalu.

Menurut beliau, tindakan MPSP menyimpan wang kutipan caruman saliran yang sepatutnya diserahkan kepada JPS negeri semata-mata untuk ‘menampakkan aliran tunainya cantik’ mengakibatkan kesusahan dan kepayahan kepada penduduk di Seberang Perai.

Malah, beliau turut menyifatkan MPSP tidak menunjukkan sikap yang selaras dengan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) yang menjadi dasar Kerajaan DAP Pulau Pinang yang ternyata sudah mati.

“Apakah MPSP ada tujuan dan maksud lain untuk tidak men­yerahkan sepenuhnya wang hasil kutipan caruman saliran kepada JPS negeri?

“Mungkinkah MPSP membelanjakan sebahagian wang caruman tersebut untuk tujuan lain selain saliran dan perparitan atau tebatan banjir?,” katanya di sini hari ini.

Beliau mengulas Laporan Ke­tua Audit Negara minggu lalu yang menyatakan MPSP tidak menye­rahkan kesemua wang ha­sil kutipan caruman saliran kepada JPS negeri untuk diakaunkan.

Menurut laporan itu, sehingga Jun tahun lalu, jumlah kutipan caruman saliran terkumpul yang belum diserahkan kepada JPS ne­geri adalah sebanyak RM22.09 juta.

Tindakan MPSP menyimpan dan tidak menyerahkan wang kutipan caruman saliran ini adalah bercanggah dengan Arahan Amanah yang menghendaki semua terimaan caruman saliran diakaunkan ke dalam Akaun Amanah Saliran yang diselenggara Pengarah JPS negeri sebagai Pegawai Pengawal.

Dalam pada itu, Muhamad Farid berkata, kegagalan MPSP mematuhi Arahan Amanah tersebut mencalarkan integriti pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan yang merupakan salah satu cabang Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Menurutnya, ketelusan tata kelola kewangan MPSP kini juga boleh dipersoalkan apatah lagi PBT itu baru-baru ini terpalit dengan kontroversi ‘pembelian’ anugerah palsu Europe Bussiness Assembly (EBA).

“Apakah MPSP kini sedang mengejar Anugerah Simpanan Tunai Tertinggi oleh sebuah PBT pula?,” katanya.