Saban tahun, beberapa pendaratan penyu untuk bertelur direkodkan antaranya spesies yang kerap ditemukan seperti penyu lipas dan agar.

Lebih istimewa, kawasan perairan negeri ini juga menjadi satu-satunya destinasi pendaratan spesies lipas untuk bertelur di negara ini sekali gus menunjukkan betapa pentingnya kawasan laut negeri ini dalam memastikan ke­langsungan hidupan laut tersebut.

Antara faktor mengapa penyu ini kerap kembali ke perairan laut negeri ini adalah kerana kekayaan hidupan marinnya seperti obor-obor, udang, ketam dan siput yang menjadi sumber makanan utama spesies tersebut.

Sebagai contoh, sepanjang tahun lalu, sebanyak 34 kes pendaratan penyu direkodkan di kawasan pantai negeri ini dengan sembilan daripadanya penyu betina.

Jumlah itu mungkin lebih banyak mengambil kira pendaratan penyu yang ditemukan penduduk tempatan, namun tidak dilapor­kan kepada Jabatan Perikanan untuk direkodkan.

Apa yang pasti, kelebihan kawasan perairan negeri ini yang menjadi lokasi penyu bertelur memberi pengalaman berbeza kepada penduduk tempatan apabila dapat melihat sendiri bagaimana telur itu dieram seterusnya anak-anak penyu dilepaskan semula ke laut.

Pengalaman itu juga dilalui kira-kira 50 penduduk di pantai Pasir Belanda, Gertak Sanggul di sini minggu lalu yang berkesempatan melihat anak-anak penyu spesies lipas berusia kira-kira seminggu dilepaskan ke laut.

Program pelepasan yang jarang-jarang dilakukan itu diken­dalikan Jabatan Perikanan membabitkan anak-anak penyu daripada induk yang mendarat dan bertelur di situ pada 18 Januari lalu.

Pengarah Perikanan negeri, Noraisyah Abu Bakar berkata, pelepasan anak-anak penyu spe­sies lipas itu petang ini amat istimewa memandangkan spesies tersebut dianggap terancam ketika ini.

Katanya, kali terakhir pendaratan penyu spesies lipas direkodkan di pantai negeri ini adalah pada 2015.

“Kita berasa bangga kerana program sebegini berjaya menarik perhatian orang ramai.

“Ini menunjukkan adanya kesedaran tinggi dalam kalangan orang ramai untuk memastikan spesies penyu ini dapat dipertahankan daripada kepupusan,” katanya ketika ditemui dalam program tersebut di sini baru-baru ini.

Menurutnya, anak-anak penyu lipas yang dilepaskan itu adalah daripada telur penyu yang ditemukan seorang pengusaha restoran makanan laut, Tan Tatt Ghee, 45.

Katanya, Tatt Ghee kemudiannya menghubungi Jabatan Perikanan sebelum telur itu dieram di Pusat Konservasi Penyu, Pantai Kerachut, Teluk Bahang di sini sebelum anak-anak penyu tersebut dilepaskan semula di pantai yang mana induknya mendarat untuk bertelur.

“Kita memuji tindakan Tatt Ghee kerana secara tidak langsung dapat memastikan kelangsungan spesies penyu lipas untuk generasi akan datang.

“Kita juga berharap mana-mana pihak selepas ini yang terjumpa telur, anak atau induk penyu di perairan negeri ini segera melaporkan kepada Jabatan Perikanan bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil,” katanya.