Ketiga-tiganya yang mempunyai elemen dan kaitan sejarah dengan negeri ini merupakan antara 149 bangunan dan artifak yang akan digazet sebagai warisan negara.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, usaha menggazet sesuatu bangunan atau artifak sebagai warisan negara bukan mudah memandangkan memerlukan persetujuan serta kelulusan daripada negeri terbabit.

“Kerajaan Persekutuan tidak boleh menggazet sesuatu tapak sebagai warisan negara sekira­nya kerajaan negeri terlibat tidak bekerjasama atau memberi kelulusan yang diperlukan ke arah itu,” katanya selepas merasmikan Seminar Arkeologi Kebangsaan di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Ketua Pe­ngarah Jabatan Warisan, Datuk Dr. Zainah Ibrahim.

Sementara itu, Zainah berkata, Malaysia mempunyai sebanyak 965 tapak arkeologi yang mana 822 daripadanya di daratan manakala selebihnya iaitu 143 di dasar laut.

Bagaimanapun, katanya, hanya 13 daripada jumlah tapak arkeologi itu yang digazet sebagai tapak warisan kebangsaan manakala lapan lagi digazet di bawah Akta Tapak Warisan 2005.

“Jumlah ini terlalu kecil dan ini juga merupakan antara sebab me­ngapa kita mencadangkan untuk menyenaraikan 149 lagi tapak dan artifak sebagai warisan negara pada 17 Oktober ini,” kata­nya.