Perkara itu diumumkan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow yang memaklumkan, MPFN yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad telah menimbang dan bersetuju dengan pelaksanaannya dengan mematuhi 18 nasihat yang ditetapkan.

Tambah beliau, cadangan projek itu dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi menjana pembangunan ekonomi negeri dan membiayai pelaksanan Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang.

“Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mematuhi nasihat MPFN dan ulasan jabatan teknikal yang berkaitan apabila melaksanakan projek ini selari dengan Seksyen 2A(2)(b) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kerajaan negeri sebelum ini mengumumkan pelaksanaan projek tambakan laut seluas kira-kira 1,800 hektar itu di Permatang Damar Laut di sini bagi membina tiga pulau buatan untuk tujuan pembangunan.

Mengikut perancangan, pulau buatan itu akan dijual bagi mendapatkan modal untuk melaksanakan komponen projek di bawah PIP yang bernilai RM46 bilion termasuk projek Lebuhraya Pan Island Link 1 (PIL 1).

Minggu lalu, Kon Yeow turut mengumumkan kerajaan negeri sudah mendapat kelulusan Kajian Impak Alam Sekitar (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitat (JAS) untuk melaksanakan PIL 1 yang bernilai RM7 bilion pada 10 April lalu. - UTUSAN ONLINE