Ng Fook On

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Pinang Gerakan, Ng Fook On (gambar) berkata, timbunan sampah-sarap dan dasar sungai berkelodak berhampiran kerja-kerja pengorekan itu menyebabkan bau busuk selain mewujudkan persekitaran yang kotor.

Lebih dikesalkan, kata beliau, masalah pencemaran itu menghantui penduduk sejak projek pengorekan dasar tersebut bermula iaitu kira-kira tiga bulan lalu.

“Projek ini bukan baharu bermula, tetapi kenapa sehingga kini masih gagal diselesaikan sehingga mengganggu penduduk di kawasan sekitar?

“Sepatutnya Kerajaan DAP Pulau Pinang mewujudkan sebuah jawatankuasa pemantauan sejak awal lagi bagi memastikannya berjalan lancar kerana projek ini bukannya berskala kecil,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Fook On turut melahirkan rasa kesal de­ngan sikap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP kawasan tersebut yang seolah-olah lepas tangan dan menyalahkan pihak lain berhubung kelewatan projek berkenaan.

Menurutnya, Kerajaan DAP Pulau Pinang sepatutnya bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam memastikan kelancaran projek berkenaan termasuk memilih kontraktor yang berkredibiliti dan memantau secara ketat projek tersebut.

Apatah lagi, kata beliau, projek itu juga selari dengan dasar Kerajaan DAP Pulau Pinang yang kononnya mahu memastikan negeri ini lebih bersih, hijau, sihat dan selamat.

Sehubungan itu, beliau menggesa Kerajaan DAP Pulau Pinang melakukan siasatan segera bagi mengenal pasti punca kelewatan projek tersebut sehingga menyebabkan penduduknya berdepan bau busuk dan pencemaran.

“Projek yang dilakukan oleh kerajaan negeri dibiayai oleh sejumlah wang daripada hasil kutipan cukai rakyat.

“Oleh itu, rakyat berhak memantau dan mempersoal perkembangan gerak kerja dan maklumat yang lebih terperinci mengenai projek berkenaan,” katanya.