Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar serta Desa negeri, Jagdeep Singh Deo berkata, hal ini demikian kerana projek tersebut telah mendapat pengecualian daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS).

“Bagaimanapun, Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) serta Pelan Kawalan Hakisan dan Mendapan (ESCP) telah disediakan bagi memastikan pembinaan jalan ini dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya ketika menjawab soalan lisan daripada Muhammad Yusoff Mohd. Noor (BN-Sungai Dua) hari ini.

Mengulas lanjut, Jagdeep berkata, projek pembinaan itu melibatkan kerja-kerja menaik taraf Jalan Bukit Kukus sedia ada selain membina jalan sambungan baharu dari Lebuhraya Thean Tek ke Lebuh Bukit Jambul.

Secara terperinci katanya, projek jalan raya sepanjang lima kilometer itu telah bermula sejak 14 Januari 2016 dan dijangka siap awal  2020.

Jagdeep juga menegaskan projek pembinaan itu akan diteruskan demi kepentingan rakyat walaupun berlakunya tragedi tanah runtuh yang mengorbankan sembilan nyawa di situ baru-baru ini.

“Kerajaan negeri akan teruskan projek itu dengan syarat-syarat yang lebih ketat termasuk pemantauan sepanjang tempoh pembinaan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Muhammad Yusoff.

Ketika menjawab satu lagi soalan tambahan daripada Mohd. Yusni Mat Piah (Penaga-Pas) yang mempersoalkan mengapa tragedi seperti itu masih berlaku walaupun langkah pencegahan telah diambil, Jagdeep menganggap perkara tersebut sebagai tidak dapat dielakkan.

“Saya juga tidak mahu salahkan ‘mother nature’ (faktor alam semula jadi) sebagai penyebab berlakunya tragedi itu.

“Apapun, kita tunggu hingga semua siasatan selesai,” katanya yang memberitahu, kerajaan negeri telah melakukan yang terbaik bagi mengelakkan tragedi seperti itu daripada terus berlaku. - UTUSAN ONLINE