Bagaimanapun, seiring dengan peredaran masa, institusi itu perlu ditransformasikan bagi memastikan ia kekal relevan pada masa depan.

Atas dasar itu, Perbadanan Perpustakaan Awam Pulau Pinang (PPAPP) mengambil inisiatif meng­anjurkan program antibuli, ‘Kita Kawan, Bukan Lawan’ dalam usaha mendekatkan diri dengan masyarakat.

Pengarah PPAPP, Sharimah Salleh berkata, penganjuran program tersebut merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial mereka untuk membantu mengurangkan gejala buli yang semakin berleluasa.

“Kita tahu bahawa perbuatan buli berlaku di mana-mana dan tidak hanya di sekolah.

“Justeru, kita memilih untuk mengetengahkan isu ini dalam program yang melibatkan penyertaan ramai pihak termasuk agensi-agensi kerajaan ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Kira-kira 200 peserta dengan kebanyakan daripada mereka terdiri daripada kalangan pelajar sekolah mengambil bahagian dalam program tersebut.

Selain sesi pembinaan slogan antibuli yang dilukis di atas kain-kain rentang dan kadbod, program itu turut dimeriahkan de­ngan sesi tayangan video berkaitan buli, ceramah daripada wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta beberapa fasilitator yang dijemput khas.

Dalam pada itu, fasilitator jemputan yang bertugas sebagai Jurupulih Perubatan Cara Kerja Hospital Pulau Pinang, Nur Adlina Ismail berpuas hati dengan sam­butan yang diberikan oleh para peserta dalam program tersebut.

“Saya percaya sebahagian daripada mereka telah memiliki kesedaran berkaitan gejala buli sebelum menyertai program ini,” katanya.

Bagi seorang peserta, Muha­mad Danish Ahmad Safari, 16, program ‘Kita Kawan, Bukan Lawan’ sangat bermanfaat untuk pelajar sekolah sepertinya.

Ujar Muhamad Danish, walaupun pernah menyertai beberapa program antibuli sebelum ini, namun katanya, program anjuran PPAPP itu mempunyai keunikan tersendiri.

“Aktiviti yang disediakan juga banyak dan agak menarik,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Abdul Kadir itu.