Antara produk yang telah memasuki pasaran negara itu menerusi inisiatif Kedai Asia di Jeddah adalah belacan, serbuk kopi kampung, kopi dan teh segera serta perencah kueteow.

Produk-produk itu dibawa masuk hasil usahasama antara Koperasi Konsortium Usahawan Menengah Pulau Pinang Berhad (Kopembec) dan Husam Waksa Sdn. Bhd. yang mengasaskan Kedai Asia itu.

Pengerusi Kopembec, Hazilah Abdul Rahman berkata, antara syarikat yang terlibat adalah Hang Tuah Sdn. Bhd., Cemara Food Industries Sdn. Bhd., Terang Bulan Food Industries Sdn. Bhd. dan Perniagaan Fajar Menyingsing.

“Sebelum ini kami telah berjaya berada di beberapa pasar raya di China dan Singapura ha­sil kerjasama dengan beberapa pihak dan kini kami melebarkan sayap ke Arab Saudi.

“Dengan adanya produk-produk ini, diharapkan ia akan memberi kemudahan kepada para jemaah haji atau umrah untuk mendapatkan produk Malaysia terutama dari Pulau Pinang,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Tambah Hazilah, ini merupakan kejayaan pertama usahawan Pulau Pinang untuk memasarkan produk mereka di Arab Saudi selepas kerjasama de­ngan beberapa pihak sebelum ini menemui jalan buntu.

Jelasnya, buat permulaan para usahawan menghantar bekalan dalam kuantiti yang kecil sebagai percubaan sebelum menambah stok penghantaran selepas melihat perkembangan jualannya.

“Dengan cara ini kami dapat meminimumkan risiko kerugian serta mengenal pasti produk yang mendapat sambutan menggalakkan oleh pelanggan di sana.

“Antara produk yang mendapat tempat adalah teh tarik Guarana yang telah dihantar beberapa kali ke sana malah bakal berada di pasar raya terkenal Ben Dawood di Mekah, Jeddah dan Madinah,” ujarnya.