Kejayaan itu diperoleh tidak sampai sebulan selepas mereka mengambil bahagian dalam Pa­me­ran Perdagangan Gulfood yang berlangsung di Dubai, Emeriah Arab Bersatu (UAE) dari 18 sehingga 22 Februari lalu.

Pengarah Urusan Haliza Industries, Datin Haliza Hussain berkata, pihaknya mengambil masa empat hari untuk menyiapkan sebanyak 1,427 karton snek atau makanan ringan seperti yang ditempah.

“Selain Bahrain, Haliza Industries juga berjaya menembusi pasaran luar negara termasuk China, Brunei, Singapura dan Arab Saudi dengan nilai jualan atau penghantaran terkumpul sebanyak RM1.9 juta sepanjang tahun lepas,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis pelepasan produknya ke Bahrain yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Focus Group Pembangunan Usahawan dan Koperasi Bumiputera negeri, Datuk Dr. Muhammad Farid Saad di sini, baru-baru ini.

Yang hadir sama ialah Pengarah Kanan Bahagian Antarabangsa Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Nazipah Jamaluddin.

Produk yang dieksport melalui kapal kontena di Pelabuhan Pulau Pinang itu dijangka tiba di Manama, Bahrain, hujung bulan ini.

Dalam pada itu, Haliza memberitahu, snek berperisa jagung berjenama Bingo Bite yang dipasarkan ke Bahrain itu kini turut mendapat sambutan memberangsangkan khususnya da­­ri­­pada pembeli di peringkat antarabangsa.

“Selain Bingo Bite, kita juga sebenarnya mempunyai beberapa produk makanan ringan lain termasuk jenama Witties dan Funtozzz yang dieksport khusus untuk pasaran China,” katanya.

Beliau memberitahu, pihaknya kini sedang mengintai pasaran baharu di beberapa negara lain termasuk Amerika Syarikat (AS), Kanada dan Australia dalam tempoh terdekat.