Menurut Ibrahim, 37, antara varieti nanas yang menjadi pilihan di pasaran adalah Morris, MD2 dan Selangor Sweet sehingga permintaan untuk buah itu meningkat saban tahun.

Malah dia mengakui ladang nanas yang ada di sekitar Utara masih tidak mampu menampung permintaan tinggi di sekitar kawasan itu ter­utama bagi varieti MD2 dan Selangor Sweet.

Biarpun begitu, Ibrahim yang lebih mesra disapa sebagai Abu berkata, harga nanas yang agak rendah serta tempoh berbuah yang panjang membuatkan tidak ramai petani yang berminat menanam nanas.

Harga di ladang bagi nanas jenis Morris dan Selangor Sweet di situ adalah antara RM1.80 hingga RM2.50 sekilogram manakala MD2 boleh dijual pada harga RM6.

“Kalau nanas jenis MD2 memakan masa setahun sete­ngah untuk dikutip hasilnya manakala Morris dan Selangor Sweet pula antara lapan bulan hingga setahun.

“Tetapi bagi saya, satu ke­pua­san untuk tanam nanas kerana saya pekebun tunggal yang dipercayai tanam nanas jenis Selangor Sweet di kawasan Utara,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Tambah Abu, selain nanas dia juga mengusahakan tanaman kontan lain antaranya pisang bera­ngan, betik, buah markisa, tembikai, apollo me­lon dan sayur-sayuran di atas tanah seluas 27.92 hektar itu.

Bagi mengimbangi masa berbuah nanas, dia menanam markisa di kawasan itu yang turut mendapat permintaan beberapa hotel ternama di Pulau Pinang yang menjadikan minuman jus markisa sebagai hida­ngan utama mereka.

Jelasnya, dia mempelbagaikan tanaman di kawasan itu bagi meng­optimumkan kegunaan segenap ruang di atas tanah itu bagi mendapatkan hasil yang berlipat kali ganda.

“Sebelum ini saya tumpukan kepada pisang berangan di kawasan ini tetapi kea­daan cuaca yang mengizinkan membuatkan saya berubah kepada nanas, markisa dan sayur-sayuran.

“Saya mendapat bim­bingan Jabatan Pertanian serta peluang pasaran di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) yang banyak membantu saya,” ujarnya.

Tambah Abu, dia juga bersyukur apabila di­pilih menjadi peserta Ladang Kontrak FAMA sejak awal tahun lalu yang membuka 
ruang pasaran lebih luas kepada­nya.

Sebagai peserta Ladang Kontrak, dia memiliki ruang pasaran sendiri untuk menjual tanaman utama di ladang itu iaitu pisang berangan dan apollo melon di pasar tani di bawah FAMA.

Selain itu, katanya, dia juga menjual secara terus hasil keluaran ladangnya di gerai buah-buahan segar (GBBS) serta Pusat Pengumpulan Ladang Perda Veggie Park.