Operasi selama kira-kira empat jam yang bermula kira-kira pukul 12 tengah hari semalam itu turut dijalankan dengan kerjasama Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Menurut Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor, operasi itu digerakkan bagi mencegah aktiviti menawarkan pinjaman wang tanpa lesen tersebut semakin berleluasa.

NOORZAINY
NOORZAINY 

Katanya, kegiatan tersebut bukan sahaja memberi kesan buruk terhadap masyarakat malah turut mencemarkan pemandangan di sekitar kawasan SPU.

“Bahagian Komersial IPD SPU sedang merangka pelbagai cara untuk memberi kese­daran tentang bahaya­nya orang ramai terjerat dengan pinjaman daripada ah long ini.

“Sebab itu, operasi menurunkan iklan-iklan pinjaman ini akan diadakan setiap bulan kerana secara tidak langsung kita juga dapat membantu MPSP menyekat lambakan iklan yang mencacatkan pemandangan di SPU,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Dalam pada itu, Noorzainy mengingatkan masyarakat supaya tidak lagi terpengaruh dengan iklan-iklan yang dipasang kerana jelas merupakan sindiket pinjaman tidak berlesen.

Katanya, pinjaman yang ditawarkan pada kadar faedah terlampau tinggi sehingga mele­bihi 30 peratus setiap bulan hanya akan menyebabkan peminjam lebih terbeban de­ngan masalah kewa­ngan pada masa depan.

Tambah beliau, se­panjang tahun le­pas, sebanyak 11 kes berkaitan Akta Pemberi Pinjaman Wang 1952 dibuka pihaknya dengan tiga daripadanya sudah didakwa.

“Bagi tahun ini pula, polis menerima satu kes dan siasatan lanjut mengenainya sedang dijalankan selain kita turut mempergiatkan usaha mengesan ah long yang menawarkan pinjaman tidak berlesen ini,” katanya.