Momen-momen indah itu boleh dirasai sekiranya anda mengunjungi Tasek Thalenoi yang terletak dalam wilayah Phatthalung di selatan Thailand.

Keindahan tasik berkenaan yang kelihatan seperti hamparan permaidani berwarna merah susu itu turut diserikan dengan kehadiran puluhan spesies burung pelbagai warna yang berterbangan di ruang udara tasik berkenaan yang menghadap Teluk Siam.

Lebih menarik, pengunjung turut berpeluang bertemu 'ikon’ pelancongan Phattalung iaitu kerbau air gergasi yang menjadikan pulau-pulau kecil yang terbentuk dalam tasik berkenaan sebagai habitatnya.

Bagaimanapun untuk mendapatkan panorama menarik, anda perlu sampai awal iaitu pada pukul 6 pagi kerana tempoh waktu matahari terbit yang dapat dilihat di situ kira-kira 10 minit sahaja.

Aktiviti awal pagi berkenaan merupakan antara pengalaman baharu dirasai penulis sewaktu mengikuti rombongan anjuran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembara Malaysia (MATTA) Kedah, Perlis dan Pulau Pinang selama tiga hari dua malam baru-baru ini.

Phatthalung yang terletak kira-kira 250 kilometer (km) dari Bukit kayu Hitam, Kedah mungkin agak asing kerana rakyat negara ini le­bih kenal Hatyai atau Songkhla.

Namun, Phatthalung yang dihuni lebih setengah juta penduduk itu sebenarnya juga mempunyai pelbagai tarikan pelanco­ngan terutama kepada pencinta alam semula jadi yang bosan dengan kesibukan kota raya.

Penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Hatyai yang hanya memakan masa sekitar 40 minit menambahkan keterujaan untuk meneroka Phattalung yang belum pernah dijejaki.

Menyedari kegiatan penanaman padi merupakan antara nadi utama kegiatan ekonomi wilayah berkenaan, sebuah muzium padi di Napokea turut dibangunkan.

Menariknya, muzium berkenaan tersergam di kawasan sawah padi sebenar dengan turut ditunjukkan proses penanaman secara tradisional, membajak menggunakan kerbau selain proses me­numbuk padi.

Di sini juga disediakan sudut khas bagi acara tarian kebudayaan tempatan seperti tarian dan muzik setempat dipersembahkan kepada pengunjung selain boleh membeli produk kraf tangan yang dihasilkan penduduk kampung.

Bagi mereka gemarkan aktiviti lasak pula, peluang untuk me­neroka Gua Harmoni yang terkenal dengan pelbagai formasi kristal semula jadi tidak harus dilepaskan.

Menariknya, anda cuma perlu mendaki sekitar 20 meter sebelum masuk ke dalam gua berkenaan yang dianggap keramat oleh penduduk sekitar.

Penulis dan rakan-rakan terpana apabila melihat formasi batu kristal semula jadi yang berusia jutaan tahun menyerupai beberapa haiwan.

Jauh ke dalam gua ber­kenaan, penemuan sungai kristal juga sangat menakjubkan apabila batu-batu kristal membentuk aliran air sungai selain dapat dilihat bentuk batu yang seolah-olah sampan.

Thailand turut digemari rak­yat Malaysia kerana keenakan masakannya terutama tekstur kepedasan, masam dan manis.

Bagaimanapun, cara sajian dan masakan di sini agak berbeza dengan kawasan lain di Thailand kerana penduduknya lebih gemar kepada rasa asli tanpa penggunaan terlalu banyak bahan perasa sekali gus lebih menyihatkan.

Ketika dibawa menikmati hidangan makan tengah hari di Lampan yang menghadap Tasik Songkhla, kami dijamu hidangan tom yam gung udang ketak.

Apa yang berbeza ialah, pada kebiasaannya tom yam menggunakan lima herba, namun yom yam gung di sini hanya mengguna tiga herba terpilih selain udang berkenaan didapati dari tasik di sekitar wilayah berkenaan.

Begitu juga dengan hidangan ayam panggang buluh, aneka salad serta ulam-ulaman tempatan selain batang teratai turut dijadikan sebahagian daripada diet penduduk di situ.

Sesuatu yang pas­ti, kunjungan ke Phatthalung menjanjikan satu pe­ngalaman luar bi­a­sa kerana ia berbeza dengan mana-mana wilayah Thailand lain yang biasa dikunjungi rakyat Malaysia.