Sepanjang jalan masuk ke kampung indah yang terletak kira-kira 10 kilometer (km) dari bandar Bukit Mertajam, pelbagai skulpture jerami kelihatan.

Ada yang membentuk kerbau, sampan dan petani sedang membajak sawah yang disusun kemas seperti mengalu-alukan kehadiran tetamu Pesta Padi Antarabangsa Pulau Pinang yang julung kali dianjurkan.

Pada satu sudut, pentas yang dibina berlatar belakang sawah padi menghijau dan bukit-bukau yang kemas terpasak, kelihatan sekumpulan lelaki berpakaian tradisional leka meniup seruling melantunkan irama merdu.

Turut menceriakan suasana, sekumpulan anak muda berkain pelekat berlari mengejar bola di tengah sawah lantas menggamit memori penulis bersama rakan-rakan yang turut menjadikan petak sawah yang dituai sebagai padang permainan mereka.

Memahami lebih mendalam, sebenarnya festival berkenaan bukan sekadar suka-suka kerana mempunyai objektif cukup jelas iaitu membincangkan hala tuju pertanian negara khususnya tanaman padi selain mengekalkan kawasan pertanian di kawasan itu.

Bertemakan Padiku, Warisanku, penganjur, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Dr. Norlela Ariffin menegaskan, pihaknya komited untuk memelihara tanah sawah di situ supaya kegiatan pertanian yang merupakan punca pendapatan utama penduduk kampung tidak terjejas.

Norlela berkata, mereka mahu menonjolkan sawah padi di kampung berkenaan dan kawasan sekitar sebagai tanah warisan penanaman padi tertua di Seberang Perai.

“Jika kita kaji aspek sejarah, kawasan ini dikatakan sebagai jelapang padi tertua di Seberang Perai apabila Sultan Kedah menghantar adiknya, Tengku Sulaiman bersama 45,000 pesawah untuk menanam padi di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Katanya, kawasan itu dipercayai dibuka pada awal tahun 1800 ketika peranan sungai sebagai laluan utama penduduk beberapa kampung sekitar.

Katanya, antara sungai terlibat termasuklah Sungai Perai ke Air Hitam Dalam, Labuh Banting, Pinang Tunggal hingga ke beberapa daerah.

“Saya mahu kawasan ini menjadi sebahagian daripada produk agropelancongan kepada pengunjung dalam Festival Georgetown dan Festival Butterworth.

“Pada kebiasaannya, ejen pelancongan membawa pelawat dari pusat bandar ke Kedah bagi menikmati makanan, keindahan alam dan aktiviti pelancongan sawah padi,” katanya.

Sementara itu, penganjuran festival berkenaan ternyata berbaloi apabila mendapat pengiktirafan Kerajaan Persekutuan.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, Kampung Terus diiktiraf sebagai warisan tanaman padi.

Beliau berkata, kerajaan melalui Jabatan Warisan Negara komited untuk mengiktiraf serta bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi memajukan industri pelancongan.

“Di sini, kita boleh bangunkan perniagaan inap desa ke­rana mempunyai potensi agropelancongan. Pada hari ini juga, penggunaan media sosial dalam kalangan masyarakat sangat tinggi kerana 97 peratus kemas kini adalah mengenai aktiviti pelancongan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar berkata, penganjuran festival berkenaan tepat pada masanya ketika pelbagai pihak mula bercakap tentang pentingnya industri pertanian negara.

Katanya, bidang pertanian perlu dibangunkan kerana hasil pengeluaran makanan negara perlu ditingkatkan.

“Kita mahu pengeluaran makanan dalam negara bukan lagi pada tahap 75 peratus sebaliknya mencapai 100 peratus. Kita jangan lupa keringat petani dan pesawah, perkara ini akan terus dibangkitkan,” katanya.

Menurutnya, sekiranya perhatian serius diberikan kepada industri penanaman padi, ia dapat membangunkan kawasan berkenaan dan negeri ini selain memberi pulangan lumayan kepada pesawah.

Berlangsung selama dua hari, pelbagai aktiviti turut dijalankan oleh penganjur untuk memeriahkan acara antaranya kaedah penamaan padi cara tradisional di samping cara klasik untuk menghalau burung yang memakan hasil tanaman.

Pengunjung turut teruja apabila mereka berkesempatan mencuba permainan tradisional seperti galah panjang, congkak, sepak raga bulat, batu tujuh dan tuju kasut selain merasai pengalaman bermain lumpur apabila menangkap ikan dalam bendang.

Turut ditawarkan di situ ialah aktiviti menyusuri sungai di jeti Kampung Terus bagi menyaksikan keindahan flora, hutan bakau serta burung-burung singgah.