Hal itu terbukti apabila rata-rata peserta yang terdiri daripada ahli akademik, pensyarah serta penyelidik daripada pelbagai institusi pendidikan di 26 negara ketika ditemui menyatakan ke­kaguman dan rasa puas hati mereka dengan kelancaran program berkenaan.

Timbalan Pengarah IPGKTB, Mohd. Saat Abas berkata, antara negara yang terlibat termasuk Indonesia,Thailand, India, Pakistan, Iraq, Iran, Maghribi, Maldives, Yugoslavia, Australia, Amerika Syarikat (AS) serta beberapa negara lain.

Beliau berkata, selain memperkenalkan budaya tempatan, program itu juga bertujuan menunjukkan bagaimana sistem pendidikan di peringkat sekolah rendah terutama melibatkan kelas pendidikan khas dilaksanakan di sekolah tersebut.

“Program ini sebenarnya merupakan sebahagian daripada aktiviti yang kita susun sepanjang Persidangan Antarabangsa berkaitan Masa Depan Pendidikan 2018 (IConFed 2018) berlangsung pada 10 Julai hingga 12 Julai lalu, dengan harapan dapat mengurangkan ‘tekanan’ mereka selepas membentangkan kertas kerja berkaitan.

“Alhamdulillah, sambutan yang kita terima daripada peserta sangat menggalakkan dan kebanyakan mereka menganggap program ini (lawatan sekolah) berjaya,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Yang hadir sama, Guru Besar SK Sungai Bakap, Mohamed Rodhzi Mohd. Noh.

Selain melihat dan meninjau beberapa permainan tradisional seperti congkak, sepak raga bulatan, batu seremban dan ting-ting bersama sekumpulan murid serta guru sekolah tersebut sempena program tersebut, peserta juga berpeluang mencuba sendiri permainan itu.

Pada masa sama, mereka juga dijamu dengan pelbagai hi­dangan istimewa khususnya juadah tempatan termasuk laksa, ketupat, rendang serta buah-buahan seperti durian, rambutan dan manggis.

Dalam pada itu, seorang peserta, Zhwan Dalshad Abdullah dari Koya University, Iran memuji sistem pendidikan di negara ini khususnya melibatkan pendidikan khas yang menurutnya jauh ke depan berbanding negaranya ketika ini.

“Kami ingin belajar sesuatu dari Malaysia,” katanya yang turut mengagumi keenakan makanan di negara ini.

Bagi peserta dari Chulalongkorn University di Bangkok, Thailand, Kulthida Rattanadilok Na Phuket pula berkata, peluang menghadiri persidangan serta melawat sekolah tersebut akan dimanfaatkan dengan sebaiknya.

“Saya gembira diberikan peluang mengikuti program ini. Walaupun Malaysia dan Thailand merupakan dua negara jiran, masih banyak perlu saya pelajari tentang negara ini,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pusat Penyelidikan Pengajian Tinggi dari Sunway University di Australia, Prof. Dr. Glenda Crosling yang turut serta dalam delegasi lawatan tersebut turut berpuas hati dengan perjalanan program dan memuji kerjasama baik yang ditunjukkan semua peserta.

“Sangat menarik untuk melihat segala-galanya berjalan dengan lancar tanpa sebarang masalah,” katanya.